ISTERI kepada pelumba jet ski, Abdullah Abdul Mubin yang terjatuh di Sungai Terengganu dekat Taman Tamadun Islam (TTI), Terengganu sempat meluahkan harapan agar suaminya ditemui beberapa jam sebelum menerima berita duka kematian mangsa pada Sabtu.
Menerusi hantaran di Facebook pada hari yang sama, Azliza Zulkifli masih mengharapkan suaminya ditemui dengan selamat dan segera pulang.
"Abang Abdullah Mubin, cepat balik. Iza dan anak-anak tunggu," tulisnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita maut tersepit, anak meraung lihat ibu terkulai dirempuh 2 lori dekat Temerloh
BACA LAGI: Atuk, nenek dan cucu maut rumah separuh kayu, batu dijilat api di Pagoh
Dia turut memuat naik satu video berada di tempat kejadian dan kedengaran suara Azliza dalam nada sayu meminta suaminya pulang.
Hantarannya itu turut menerima ucapan takziah daripada orang awam yang bersimpati terhadap kejadian tragis yang menimpa Abdullah itu.
Lebih sayu lagi, wanita tersebut berkongsi anak perempuan mereka, Amni mengigau dalam tidur kerana terlalu rindukan Allahyarham.
Pada masa sama, Azliza turut meluahkan rasa syukur mayat suaminya yang berusia 44 tahun itu sudah ditemukan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail mengesahkan Abdullah ditemukan terapung di permukaan air kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
"Mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak semalam (Jumaat).
"Mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk proses bedah siasat," katanya pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram