KEWUJUDAN pelbagai jenis dadah yang semakin berleluasa sejak mutakhir ini menyebabkan remaja termasuk pelajar sekolah sentiasa berisiko terdedah dengan kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang.
Sehubungan itu, keluarga terutama ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan penting dalam perkara ini sekali gus harus bijak mengawal anak-anak agar tidak terjerumus dalam najis dadah.
Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti) Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Hafidah Maasom berkata, banyak kes dadah yang berlaku disebabkan kelekaan ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak.
"Dalam kalangan remaja yang mungkin agak bermasalah, ponteng sekolah adalah salah satu petanda besar.
"Apabila mereka mula ponteng dan berkawan dengan orang dewasa, ia adalah ciri-ciri yang menjurus kepada penyalahgunaan bahan seperti rokok, rokok elektronik (vape) dan juga dadah," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Majoriti baru-baru ini.
Sehubungan itu, kata beliau, setiap ibu bapa perlu lebih peka dan sentiasa sensitif terhadap keperluan serta tingkah laku anak-anak mereka.
"Kadang-kadang, ibu bapa merasa lega apabila anak berada di rumah, tetapi tidak sedar bahawa anak mereka mungkin sedang menagih dadah di dalam bilik," katanya.
Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti) Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Hafidah Maasom.
Minum air ketum di taman
Tegasnya, trend penagihan kini juga melibatkan aktiviti penagihan dadah di tempat awam seperti taman permainan.
"Contohnya, budak-budak berumur 12 tahun bersama rakan sebaya boleh duduk di taman permainan sambil minum air ketum yang diletakkan dalam botol air minuman ringan.
"Keadaan ini berlaku di depan mata tetapi kita tidak perasan mereka sedang menagih dadah," ujarnya.
Menurut beliau lagi, penjualan vape secara berleluasa dalam negara ketika ini juga menyumbang kepada risiko penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja.
"Kadang-kadang mereka nak nampak cool (hebat) jadi mereka hisap vape depan kawan-kawan, sebabnya hisap vape ini dah macam satu trend sekarang.
"Vape pula boleh didapati di mana-mana dan ada dalam kalangan klien mengakui mereka mengambil vape yang mengandungi ganja.
"Nampak macam hisap vape tetapi sebenarnya mengandungi dadah sintetik, kadang-kadang ada yang tak tahu dalam vape itu ada dadah. Itu salah satu cara lebih berisiko terdedah kepada dadah," katanya.
Genetik antara faktor kanak-kanak terjebak dalam kancah dadah
Kanak-kanak yang pernah melihat ahli keluarga mereka mengambil dadah cenderung untuk meniru perbuatan tersebut tanpa menyedari bahawa ia adalah satu kesalahan. — Gambar Hiasan
Tambah Hafidah, kanak-kanak dan remaja yang tinggal bersama individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah juga berisiko tinggi terjerumus dalam kancah sama.
"AADK pernah buat program ceramah penyalahgunaan dadah di sebuah taska dan bila kita tunjukan 'toolkit' yang sering digunakan oleh penagih seperti picagari dan jenis-jenis bahan terlarang.
"Tidak disangka-sangka apabila ada kanak-kanak mengenali barang tersebut dan dapat tunjuk cara menggunakannya dengan bersahaja. Malahan ada yang mengaku mereka sudah biasa melihat ayah mereka menggunakan 'barang' itu.
"Umpama lifestyle (gaya hidup) dalam budaya keluarga itu sendiri apabila kanak-kanak seawal usia muda menganggap penagihan itu bukan sesuatu yang salah. Dari kecil bila dia dah dimomokkan macam itu, dia rasa benda itu tak salah," katanya.
Tegas beliau, kanak-kanak yang pernah melihat ahli keluarga mereka mengambil dadah cenderung untuk meniru perbuatan tersebut tanpa menyedari bahawa ia adalah satu kesalahan.
Katanya, itu menjadi salah satu punca menyebabkan golongan berkenaan terjebak dengan dadah lebih awal dan mungkin juga secara tidak sengaja.
"Ada klien-klien yang terjebak dalam dadah ketika berumur kurang 12 tahun dan semasa dikesan sudah mencapai usia 30 tahun.
“Sehubungan itu, saringan dilakukan untuk kita mengenal pasti murid yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah supaya tindakan intervensi awal dapat dilakukan sebelum mereka menjadi penagih tegar.
"Sebagai contoh, dalam pusat pemulihan, terdapat kes remaja yang berumur 12 tahun sudah mula menagih sejak usia lima tahun. Tempoh penagihan yang panjang ini menyukarkan proses pemulihan kerana penggunaan dadah yang berpanjangan," ujarnya sambil menambah penagihan bahan terlarang juga boleh disebabkan faktor genetik.
Ujar beliau, kajian yang dijalankan oleh Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NIDA) menunjukkan 40 peratus penagihan dadah disebabkan faktor genetik, terutamanya jika ibu bapa atau datuk serta nenek mereka juga pernah menagih dadah.
Ketagihan dan cabaran era teknologi digital
Hafidah turut mengakui, dalam era digital ini, penagihan bukan hanya tertumpu pada bahan fizikal seperti dadah, vape dan rokok, tetapi juga tingkah laku seperti ketagihan gajet dan internet.
Beliau menambah, generasi alpha sekarang ini sangat terdedah kepada gajet dan teknologi terkini yang boleh membawa kepada pelbagai risiko termasuk ketagihan dadah.
"Teknologi juga mempengaruhi cara penagihan berlaku. Dalam era pandemik Covid-19, pengambilan bahan terlarang tidak berhenti kerana dadah boleh didapati melalui dark web dan dihantar terus ke rumah. Ini menunjukkan teknologi menjadi cabaran besar dalam menangani isu penagihan dadah.
"Sebagai contoh, tahun lepas terdapat satu pencetak 3D yang boleh digunakan untuk mencetak resepi dadah. Ini menunjukkan bahawa teknologi boleh digunakan dengan cara negatif dan memberikan cabaran lebih besar dalam menangani isu penagihan dadah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram