[VIDEO] Siap tayang 'dapur' dan plastik lut sinar dadah, 4 remaja sekadar bersembang lepas tonton filem — Polis Melaka


  • 112
  • Khamis, 22 Ogos 2024

Tangkap layar empat remaja secara terang-terangan berbual dan menunjukkan bahan terlarang dipercayai dadah baru-baru ini mengundang amarah dalam kalangan masyarakat.

TINDAKAN empat remaja secara terang-terangan berbual dan menunjukkan bahan terlarang dipercayai dadah pada Rabu mengundang amarah dalam kalangan masyarakat.

Manakan tidak, dalam rakaman berdurasi 53 saat yang tular di laman media sosial itu, dua daripada mereka turut menunjukkan satu plastik berwarna lut sinar didakwa bahan terlarang dan satu botol air didakwa peralatan menghisap dadah.

Susulan daripada itu, polis memanggil dua wanita dan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung penularan rakaman video mengenai perbualan berkaitan penyalahgunaan dadah.

BACA LAGI: [VIDEO] Tragedi mandi tasik di Kempas, ibu menangis sayu lihat jasad anak lemas diusung keluar

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita maut tersepit, anak meraung lihat ibu terkulai dirempuh 2 lori dekat Temerloh

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata wanita berusia 18 tahun dan remaja lelaki, 17, yang masing-masing berasal dari Batu Berendam dan Jasin itu, dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 6 petang Rabu.

Beliau berkata seorang lagi wanita berusia 18 tahun yang tinggal di Jalan Dato Senu, Kuala Lumpur dipanggil memberi keterangan di IPD Sentul pada 9.55 malam Rabu.

"Pada Selasa lepas, video berdurasi 52 saat yang memaparkan perbualan sekumpulan individu berkaitan penyalahgunaan dadah tular di media sosial.

"Siasatan polis mendapati perbualan itu dibuat pada Isnin (19 Ogos) secara berkumpulan secara dalam talian dengan menggunakan platform TikTok," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Zainol berkata, susulan itu, ketiga-tiga individu terbabit dipanggil memberi keterangan dan dilepas serta dibebaskan tanpa syarat selepas siasatan mendapati mereka melakukan perbualan berkenaan setelah menonton filem memaparkan adegan berkaitan penyalahgunaan dadah serta hanya sekadar gurauan bersama rakan-rakan.

Beliau berkata semakan rekod mendapati ketiga-tiga individu terbabit bebas daripada sebarang rekod jenayah, dan negatif ujian air kencing.

Bagaimanapun, kes berkenaan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk tindakan lanjut.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram