SISTEM pangkalan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sering tergendala sememangnya perlu ditambah baik untuk mengelakkan tekanan mental terhadap guru.
Keadaan ini bukan sahaja mengganggu kelancaran tugas harian mereka, malah juga boleh menjejaskan kualiti pendidikan yang disampaikan kepada pelajar.
Selain itu ramai golongan pendidik meluahkan rasa kesal terhadap masalah sistem pangkalan data yang melibatkan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), Sistem Pengurusan Identiti (idMe) dan yang lain-lain sering terganggu.
BACA LAGI : NUTP, kesatuan guru gesa KPM kaji semula perisian idME yang membebankan
BACA LAGI : Sudah 12 tahun KPM asyik bertukar tangan, warga pendidik bimbang alami masalah mental terjejas akibat id
Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon mengakui menerima banyak aduan mengikut musim penggunaan sistem aplikasi yang dibangunkan oleh bahagian maklumat KPM.
"Cikgu sudah begitu lama mengalami tekanan akibat sistem yang perlu ditambah baik. Tekanan emosi bermusim ini disebabkan kelemahan sistem dan teknologi yang digunakan perlu ditambah baik sesuai dengan keperluan peningkatan penggunaan.
"Pihak kami melihat seolah-olah KPM tidak mempunyai perancangan yang betul terhadap sistem teknologi maklumat yang dimilikinya," katanya kepada Majoriti.
Fouzi Singon
Tambah beliau lagi, KPM seharusnya bekerjasama dengan Kementerian Digital bagi menyelesaikan masalah yang semakin meruncing tersebut.
"Pihak Kementerian Digital yang mempunyai bidang kepakaran berkenaan perlu digunakan sepenuhnya.
"Saya yakin Kementerian Digital bersedia untuk memberikan khidmat pakar kepada KPM dan tidak boleh terus bergerak sendiri dengan keupayaan dan kepakaran yang terhad.
"Kami mencadangkan satu jawatankuasa khas mengkaji kelemahan dan keperluan prasarana digital dalam KPM.
"Melalui kerjasama tersebut juga, pihak NUTP perlu dilibatkan sama agar kami juga tahu apa isu sebenar program pendigitalan KPM ini agar dapat mengelakkan guru terus tertekan setiap tahun apabila sampai masa penggunaan serentak seluruh negara," ujarnya.
Juhairi Mohamad Nor
Sementara itu, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) turut menggesa pihak KPM untuk menyelesaikan masalah sistem pangkalan data itu dengan segera.
Presiden KGMMB, Juhairi Mohamad Nor berkata, gangguan sistem pangkalan data boleh menyebabkan kerja-kerja pengisian data dan penyediaan laporan menjadi tertangguh.
Katanya, sejak kebelakangan ini, sistem APDM terutama sekali pada waktu pagi.
"Sepatutnya pukul 9 pagi dah selesai tetapi kadang-kadang sampai waktu habis bekerja pun belum selesai lagi.
"Ini bulan melibatkan APDM sahaja tetapi sistem data yang lain," jelasnya.
Sehubungan itu, Juhari menegaskan agar KPM perlu lebih serius dalam menyelesaikan isu tersebut.
"Perlu ada satu penguatkuasaan kepada pemain-pemain industri terutamanya dalam bidang yang melibatkan swasta atau kerajaan yang membuat sistem ini supaya membuat semakan semula perjanjian-perjanjian tersebut bagi memastikan server data KPM ini dapat digunakan dengan lancar.
"Pada masa sama, KPM perlu mengkaji semula pihak yang bertanggungjawab dalam membuat sistem tersebut dan kalau perlu, beri pula peluang kepada pemain industri yang lain untuk mengendalikan sistem data berkenaan," katanya.
Rata-rata golongan pendidik terpaksa mengambil masa lama untuk mengisi data dalam sistem data KPM kerana sistem itu selalu tergendala.
Tambah beliau lagi, masalah tersebut sudah berlarutan terlalu lama dan sekiranya dibiarkan melarat ia akan memberikan imej yang buruk kepada KPM.
"Mungkin berlaku sabotaj dalam KPM itu sendiri yang melibatkan pegawainya dan mereka (KPM) harus bertindak segera dalam menyelesaikan isu ini.
"Tindakan tegas perlu diambil. KGMMB sudah lali dengan jawapan retorik seperti mengemas kini sistem, menaik taraf dan sebagainya.
"Sehubungan itu, semak semula pihak-pihak yang ada kaitan dengan sistem tersebut dan kalau perlu, kita beli peluang kepada pihak lain untuk mencuba memberi sistem yang lebih baik kepada guru-guru," katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan keluhan dalam kalangan pendidik yang terpaksa menghabiskan lebih banyak masa untuk menyelesaikan tugas-tugas pengisian data KPM.
Kebanyakan daripada mereka kesal dengan sistem yang sering tergendala kerana tugas tersebut sepatutnya boleh disiapkan dengan lebih cepat jika sistem berfungsi dengan baik.
Ini seterusnya meningkatkan beban kerja dan tekanan mental mereka, terutamanya apabila terdapat tarikh akhir yang perlu dipatuhi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram