PERIKATAN Nasional (PN) terus menunjukkan keyakinan yang tinggi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang yang bakal diadakan pada 6 Julai depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan yakin calon PN yang mewakili gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)-PAS mampu menang dengan mudah pada pilihan raya tersebut.
"Saya yakin dan berharap 100 peratus calon PN akan memenangi pilihan raya itu.
BACA LAGI: PKR ada kelebihan jika ikut trend, PAS perlu elemen lain pertahan Sungai Bakap
BACA LAGI: Bekas guru, isteri arwah Nor Zamri antara nama disebut bertanding PRK Sungai Bakap
Datuk Harrison Hassan
"Dengan keadaan sekarang ini, mengambil kira ketidakpuasan hati yang dirasai oleh rakyat terhadap kerajaan sedia ada... kita boleh menang.
"Banyak sebab yang membuatkan sentimen rakyat tidak berpuas hati dan mungkin penduduk di Sungai Bakap turut berasakan benda yang sama," katanya kepada Majoriti.
Beliau juga mengingatkan bahawa PN telah berjaya memenangi kawasan tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang lalu sekali gus menunjukkan keyakinan bahawa sejarah kemenangan tersebut akan berulang.
"Sudah terbukti setahun yang lalu PN menang di kawasan tersebut pada PRN 2023.
"Kami di PN akan bekerja keras untuk meyakinkan rakyat dan insya-ALLAH saya sendiri akan turun memberi sokongan terhadap Calon di Sungai Bakap,"
Terdahulu, media melaporkan PN mengesahkan calon daripada PAS akan mewakili gabungan itu dalam PRK DUN Sungai Bakap.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan pihaknya akan mengumumkan identiti calon untuk PRK itu pada 15 Jun ini.
"Penyandang yang meninggal dunia adalah ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) PAS, jadi kita akan kekalkan begitu. Kerusi itu adalah kerusi PAS.
"Kita akan umumkan calon pada 15 Jun. Selepas itu, calon akan diberikan watikah untuk bertanding di bawah PN," katanya.
Nor Zamri Latiff, 56, meninggal dunia semasa menerima rawatan di HSJ kerana mengalami keradangan dalam perut pada 24 Mei lalu.
Sementara itu, Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) diumumkan sebagai calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK Sungai Bakap.
Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya Kerajaan Perpaduan, Rafizi Ramli pada Malam Pengumuman Calon Perpaduan PRK Sungai Bakap di Simpang Ampat pada malam Rabu lalu.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram