MAJLIS Perbandaran Kajang (MPKj) menyangkal dakwaan tidak mengambil tindakan berkaitan aduan daripada seorang penduduk warga emas di Kajang, Selangor yang terpaksa berhadapan dengan jiran yang membina tembok sehingga melangkaui sempadan rumahnya.
Warga emas tersebut mendakwa tidak menerima sebarang respons daripada MPKj berhubung isu jirannya yang membina tembok tanpa izin sejak dua tahun yang lalu.
Ketua Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, pihaknya mengambil maklum tentang isu tersebut dan sudah menjalankan siasatan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Katanya, MPKj sudah beberapa kali menghantar notis kepada jiran pengadu dan meminta dia untuk menyerahkan pelan binaan tembok berkenaan namun tiada respons yang diterima.
"MPKj sendiri sudah hantar notis kepada jiran pengadu dan setakat ini kami masih belum menerima respons daripada pemilik rumah berkenaan.
"Sehubungan itu, pihak MPKj akan membuat tindakan lanjut dan mengadakan lawatan ke rumah pengadu pada Khamis bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Sekiranya ia melanggar undang-undang atau boleh mendatangkan bahaya, jadi MPKj akan meminta pemilik rumah tersebut untuk membuat tindakan yang sepatutnya," katanya kepada Majoriti.
Seorang warga emas di Kajang beritahu jirannya ubahsuai rumah hingga langgar sempadan. Saya cadang dia buat aduan ke @MPKajang tapi respon yang diterima menyedihkan. MPKj suruh dia lantik peguam dan bawa ke mahkamah. Dia tak ada duit. Menteri KPKT @NgaKorMing betulkah cara ini? pic.twitter.com/Q3WrVlKy45
— Roman Akramovich (@SyedAkramin) June 16, 2024
Tambah beliau lagi, jiran pengadu juga tidak pernah mengemukakan pelan atau permit permohonan untuk mengubah suai rumah kepada pihak MPKj.
"Hasil semakan mendapati jiran pengadu tidak pernah membuat permohonan sebelum mendirikan tembok tersebut.
"Untuk makluman, semua jenis pengubahsuaian rumah perlu mendapat kelulusan dan permit dari MPKj terlebih dahulu.
"Sebelum pengubahsuaian dilakukan, pemilik rumah perlu menghantar pelan terlebih dahulu bagi memastikan struktur yang dibina itu selamat atau tidak," katanya.
Pada Isnin, Majoriti melaporkan warga emas tersebut meluahkan rasa kecewa dan mendakwa MPKj memberi respons yang kurang memuaskan berhubung isu tersebut.
Luahannya itu turut dikongsikan seorang warga maya di laman media sosial X (Twitter) @SyedAkramin pada Ahad.
"Seorang warga emas di Kajang beritahu jirannya mengubahsuai rumah hingga melanggar sempadan. Saya cadang dia buat aduan ke Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) namun respons yang diterima menyedihkan.
"MPKj suruh dia lantik peguam dan bawa ke mahkamah. Dia tak ada duit. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming betulkah cara ini?" ciapnya.
Menurut pemilik akaun X itu lagi, aduan itu telah dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sejak 2021 lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram