Ini bukan masalah subjudis atau prejudis tetapi keadilan kepada semua termasuk si mati perlu diambil kira — Kamal Affandi


  • Massa
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Ibu bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Petaling Jaya, Selangor pada Khamis atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan

KES pembunuhan tragis Zayn Rayyan Abdul Matiin, seorang kanak-kanak autisme, semakin menjadi bualan hangat dalam kalangan masyarakat.

Kontroversi tercetus apabila beberapa kandungan maklumat siasatan yang didakwa milik polis tular di Telegram Edisi Siasat sejak Khamis lalu.

Lebih mengejutkan, maklumat tersebut mendakwa pembunuhan itu dilakukan oleh ibu bapa kanak-kanak malang tersebut sendiri.

BACA LAGI: Kes Zayn Rayyan: MCMC kenal pasti laman media sosial sebar maklumat bocor

BACA LAGI: Bukit Aman siasat fakta kes pembunuhan Zayn Rayyan bocor di media sosial

Keadaan ini telah mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat. Ramai pihak yang tidak bertanggungjawab telah memutarbelitkan maklumat itu semata-mata untuk menaikkan rating media sosial mereka.

Penyebaran maklumat yang tidak sahih ini menambah kehangatan isu ini dan menyebabkan keresahan dalam kalangan orang ramai.

Menurut fasilitator dan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, terdapat dua isu utama yang perlu diberi perhatian dalam kes yang melibatkan keabsahan dokumen dan penyebaran maklumat.

"Kedua-dua isu ini memerlukan tindakan yang berbeza. Keabsahan dokumen memerlukan tindakan daripada pihak polis, manakala penyebaran maklumat merupakan isu yang lebih sensitif.

"Sama ada dokumen yang disebarkan itu tulen atau tidak, kes yang melibatkan siasatan aktif satu-satu kematian tidak wajar diletak nilai pada kedudukan yang sama dengan mendedahkan rasuah, salah guna kuasa atau pun judi, "katanya kepada Majoriti.

2709910

Fasilitator dan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim

Beliau turut menekankan bahawa pendedahan maklumat tersebut haruslah dilihat dalam setiap aspek.

"Ini bukan masalah subjudis atau prejudis tetapi keadilan kepada semua termasuk si mati perlu diambil kira.

"Bagaimana kelak kalau suatu pendedahan secara tiba-tiba memberi keuntungan kepada pihak lain dan hilang pula pembelaan kepada si mati?" tegasnya.

Tambah Kamal Affandi lagi, dalam menyokong usaha semua pihak termasuk Edisi Siasat yang sering membuat pendedahan dengan hasrat integriti perkhidmatan kepada awam menjadi lebih baik, disiplin dan piawaian kendiri yang lebih ketat diperlukan mana-mana penulis ketika berdepan dengan isu-isu jenayah.

"Walaupun saluran aduan rasmi iaitu melalui Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ada tersedia, Edisi Siasat telah pun sinonim dengan siri-siri 'mendedahkan' sebelum ini sehingga dapat dilihat sebagai 'lidah rasmi' rakyat.

"Edisi Siasat menyedari bahawa apa-apa maklumat menarik perhatian rakyat adalah forté platformnya.

"Pengajaran yang boleh kita ambil di sini ialah selain isu kredibiliti dan reputasi, pelapor awam lebih tertarik untuk berinteraksi jika identiti mereka tidak perlu tampil selain identiti mereka tidak terdedah," ujarnya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka akan menyiasat laporan Telegram 'Edisi Siasat' susulan dakwaan berkaitan kes tersebut.

Untuk rekod, ibu bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kecuaian kanak-kanak di hadapan hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram