[VIDEO] Pegawai mabuk tidak berbaju tunjuk ves polis di George Town sedang dalam proses tindakan tatatertib


  • 112
  • Khamis, 27 Jun 2024

Tangkap layar seorang lelaki tidak memakai baju dipercayai dalam keadaan mabuk menunjukkan ves polis kepada pekerja kontraktor jalan di Jalan Air Itam baru-baru ini.

SEORANG lelaki tidak memakai baju dipercayai dalam keadaan mabuk menunjukkan ves polis kepada pekerja kontraktor jalan di Jalan Air Itam dekat George Town, Pulau Pinang baru-baru ini merupakan seorang pegawai kanan polis.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid.

Katanya, pegawai kanan yang menunjukkan ves keselamatan polis dalam rakaman video seperti yang tular di media sosial itu kini sedang dalam proses dikenakan tindakan tatatertib oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

BACA LAGI: [VIDEO] Rapat dengan teman lelaki punca pelajar perempuan di Kerian kena sepak 2 rakan sekolah

BACA LAGI: Remaja hamil cedera parah, kandungan 5 bulan gugur lepas kena timpa pokok di Perlis

"Pada 26 Jun pukul 9 pagi, polis Daerah Timur Laut terkesan satu rakaman klip video dimuatkan pemilik akaun TikTok memaparkan kejadian seorang individu dipercayai di bawah pengaruh alkohol menunjukkan ves polis kepada orang awam.

"Hasil semakan mendapati kejadian berlaku di Jalan Air Itam dan individu terbabit adalah seorang pegawai kanan polis yang sedang dalam proses tindakan tatatertib jabatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Melalui video berdurasi enam saat dimuat naik di aplikasi TikTok Isnin lalu, memaparkan seorang lelaki tidak memakai baju dipercayai dalam keadaan mabuk menunjukkan ves polis kepada pekerja kontraktor jalan.

Sementara itu, dalam satu lagi kes yang tular herhubung dakwaan kematian di sebuah perumahan polis, Razlam berkata kejadian disahkan berlaku pada 18 Mac lepas di perumahan polis di George Town.

Beliau berkata, polis terkesan klip video berdurasi dua minit 41 saat itu dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok pada pukul 6.30 petang Rabu dengan mendakwa kononnya kes itu tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada polis.

"Semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 18 Mac dan siasatan pihak polis di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang kesan akibat daripada perbuatan jenayah.

"Bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) juga mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan susulan terjatuh dari tempat tinggi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya sambil menjelaskan kes masih dalam siasatan dan menunggu laporan bedah siasat serta kimia.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram