Masalah 'Persimpangan Mario' dijangka selesai hujung bulan ini — Harrison Hassan


  • Massa
  • Isnin, 10 Jun 2024

Masalah 'Persimpangan Mario' yang berlokasi di Bandar Puncak Alam, Selangor akan berkemungkinan diselesaikan pada penghujung bulan ini.

MASALAH 'Persimpangan Mario' yang berlokasi di Bandar Puncak Alam, Selangor akan berkemungkinan diselesaikan pada penghujung bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

"Pihak MPKS sendiri telah melakukan beberapa kajian dari pelbagai sudut untuk menyelesaikan isu yang semakin meruncing di kawasan berkenaan.

BACA LAGI: ADUN Jeram sudah lama turun padang, cadang ‘Simpang Mario’ ditutup selama-lamanya

BACA LAGI: Sudah beberapa kali ragut nyawa, penduduk Puncak Alam gesa PBT bina lampu isyarat di 'Persimpangan Mario'

"Hanya MPKS yang tahu mana yang baik, tak baik, yang selamat atau tak selamat.

"Saya difahamkan sebelum berlakunya kemalangan tempoh hari pun MPKS sudah memaklumkan kepada saya mereka sudah meningkatkan keselamatan di persimpangan tersebut.

"InsyaALLAH, dalam masa dua atau tiga minggu lagi dan mungkin isu itu akan diselesaikan pada hujung bulan ini," katanya kepada Majoriti.

2737150

Datuk Harrison Hassan

Menurut beliau, isu di persimpangan Mario tersebut bukanlah isu yang baharu namun sudah berlaku sejak lima tahun yang lalu.

"Masalah utama yang dialami penduduk ialah kesesakan lalu lintas yang berlaku di kawasan tersebut ketika waktu kemuncak sehingga menyebabkan kemalangan.

"Baru-baru ini juga berlaku kemalangan yang melibatkan seorang penunggang motosikal sehingga meragut nyawa.

"Untuk makluman, saya sendiri sudah melawat kawasan tersebut sebelum kemalangan itu berlaku lagi. Saya telah mengemukakan beberapa cadangan kepada MPKS untuk mengurangkan risiko kemalangan di simpang tersebut

"Sudah berkali-kali saya maklumkan isu tersebut kepada pihak MPKS atas aduan penduduk sebelum ini tetapi itulah, benda nak jadi berlaku kemalangan pula," katanya.

2733974

Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kenderaan di Persimpangan Mario pada Rabu lalu.

Tegas beliau lagi, bagi menyelesaikan isu tersebut beliau lebih gemar menyelesaikan masalah berkenaan mengikut undang-undang dan saluran yang betul.

"Negara kita ada undang-undang. Tak bolehlah besok saya arahkan tutup jalan. Saya bawa orang tutup jalan. Saya bawa orang jatuhkan palang ini. Walaupun tindakan itu kebaikan, tetapi bagi saya itu tidak wajar kerana ada sebab kenapa diwujudkan persimpangan Mario itu.

"Ada sebab kenapa jalan itu dibina sedemikian. Kita ikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Saya serah pada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan lanjut dan jangan ambil keputusan sendiri terus tutup persimpangan tersebut kerana ia menyalahi undang-undang," katanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan penduduk di sekitar kawasan Bandar Puncak Alam, Selangor menggesa MPKS untuk membina lampu isyarat di kawasan sebuah persimpangan yang dikenali 'Simpang Mario' dalam kalangan penduduk setempat.

Hal ini kerana kawasan tersebut kerap kali berlaku kemalangan sehinggakan ada yang meragut nyawa. Isu itu menjadi semakin meruncing selepas seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kenderaan di persimpangan tersebut.

Mangsa yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah meninggal dunia di tempat kejadian pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram