KESATUAN Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyelesaikan masalah capaian pelayan atau server Sistem Pengurusan Identiti (idME) yang dikatakan begitu perlahan ketika ini.
Presiden KGMMB, Juhairi Mohamad Nor berkata, server sistem tersebut dianggap membebankan golongan pendidik sehingga ada sebahagian guru sukar mengisi maklumat pelajar.
"Kita dapat banyak aduan daripada guru mengenai iDMe dan kebanyakan daripada mereka kata sistem yang diperkenalkan itu membebankan.
"Masalahnya data itu perlu diisi satu persatu dan bayangkan kalau pelajar ramai. Sudah tentu cikgu itu sendiri mengambil masa yang lama mengisi sistem tersebut.
"Lebih meruncingkan lagi, ada data yang dimasukkan hilang apabila sistem itu dibuka semula sekali gus menjadikan perbuatan yang sia-sia apabila perlu melakukan perkara sama berulang kali," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Selain isu server, Juhairi berkata, pihak KPM juga perlu melihat geografi tempat guru mengajar.
BACA LAGI : Sudah 12 tahun KPM asyik bertukar tangan, warga pendidik bimbang alami masalah mental terjejas akibat idME
Presiden KGMMB, Juhairi Mohamad Nor
"Seperti yang kita tahu, kebanyakan guru yang mengajar di kawasan pedalaman sukar mendapatkan pautan internet yang laju dan sistem itu sendiri tidak boleh dibuka.
"Ia bukan setakat mendatangkan beban tetapi mental guru itu juga terkesan. Saya harap pihak KPM lebih peka tentang isu ini," katanya.
Selain itu, Juhairi juga berharap agar KPM meneliti semula penggunaan ID pengguna (pengenalan diri) diselaraskan untuk menggunakan satu ID sahaja untuk satu sistem.
Katanya, seorang guru terpaksa menggunakan ID yang berbeza untuk memasuki beberapa sistem.
"Kadang-kadang ada guru yang terpaksa menggunakan tiga 'laptop' dalam satu masa untuk masuk ke sistem yang berlainan kerana ID yang berbeza," katanya.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan KPM meneliti semula penggunaan Sistem idME dengan melaksanakan ujian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan arahan penggunaannya kepada guru.
Ini kerana, menurutnya, ia dilihat gagal dalam memainkan peranannya selepas dilancarkan dua tahun lalu.
BACA LAGI : Upgrade segera sistem 'sampah' IDME atau lantik golongan siswazah masukkan data pelajar
Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon
Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon berkata, perkara itu harus mendapat perhatian dan tindakan segera daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan pengurusan tertinggi kementerian agar isu tekanan emosi warga pendidik dalam melaksanakan tugasan yang tidak produktif ini dapat dimuktamadkan dengan segera.
“Ia penting agar isu tekanan emosi warga pendidik dalam melaksanakan tugasan yang tidak produktif ini dapat dimuktamadkan dengan segera," katanya kepada Majoriti melalui satu kenyataan media.
NUTP turut merayu agar KPM melihat semula penggunaan sistem idME dan mewujudkan perisian yang benar-benar mantap dan telah dilaksanakan beberapa ujian penggunaan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan arahan penggunaannya kepada guru-guru.
Menurut Fouzi, pihaknya menerima banyak aduan dan keluhan yang dibuat oleh warga pendidik melalui media sosial berhubung sistem tersebut yang seolah-olah seperti tidak berfungsi walaupun ada dalam kalangan guru menggunakan internet berkelajuan tinggi (500 Mbps).
"Ada dalam kalangan guru yang mengadu berjaya masuk ke sistem tersebut tetapi markah dikunci masuk hilang kerana gagal disimpan secara automatik, mengakibatkan mereka terpaksa memulakan semula langkah dari awal.
“Mereka terpaksa kunci masuk dari awal sehingga berjaya mengisi sepenuhnya. Ia amat membebankan kerana menggunakan masa lama dalam melaksanakan tugasan yang tidak produktif langsung,” katanya.
NUTP mendapati setiap aduan yang diterima rata-rata merungut sistem tersebut seolah-olah masih berada di peringkat uji lari (run test) walaupun sudah beberapa tahun diperkenalkan.
Tambahnya lagi, pihaknya mendapati setiap aduan yang diterima rata-rata merungut sistem tersebut seolah-olah masih berada di peringkat uji lari (run test) walaupun sudah beberapa tahun diperkenalkan.
"Masalah isu yang dihadapi tetap masalah yang sama, tiada sebarang perubahan. Masa pengisian terlalu pendek tetapi data yang perlu dimasukkan terlalu banyak seperti BMI, Segak, PAJSK, PBD, UASA serta SSDM. Sistem ini juga didapati tidak mesra pengguna.
"Fungsi sistem ini juga sukar difahami selain dari sistem yang terlalu perlahan dan ibu bapa juga tidak boleh mengakses untuk melihat pencapaian anak-anak mereka.
"Guru-guru mempersoalkan tindakan KPM yang menamatkan penggunaan sistem SAPS yang lebih baik dan boleh digunakan oleh guru dan ibubapa menjadi persoalan kepada guru-guru," katanya.
Terdahulu Majoriti melaporkan warga pendidik sekali lagi merayu pihak KPM meneliti semula penggunaan idME yang didakwa membebankan tugasan mereka pada ketika ini.
Rata-rata ada segelintir daripada guru ini sudah mula meluahkan isu terbabit menggunakan platform media sosial.
Hal ini kerana ada dalam kalangan guru ini bimbang tidak mampu menyiapkan tugasan mengisi data pelajar sebelum penghujung Januari ini.
Untuk rekod, idME merupakan sistem pengurusan identiti bagi pengguna KPM. Ia termasuklah pengguna daripada kakitangan daripada kementerian lain, agensi, institusi swasta, ibu bapa, pelajar, pendidik, pengusaha institusi pendidikan dan orang awam.
Sistem ini diwujudkan bertujuan menjadi medium utama untuk menyimpan dan mengesahkan identiti pengguna KPM.
Bukan itu sahaja, ia juga merupakan pemangkin utama untuk Single Sign-On (SSO) yang membolehkan semua sistem membuat pengesahan pengguna bagi mengelakkan berlakunya duplikasi pengguna dalam sistem pengurusan identiti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram