'Demo Rakyat Lawan Anwar' tidak dapat kelulusan Perbadanan Putrajaya — Polis


  • 112
  • Khamis, 27 Jun 2024

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, walaupun pihak penganjur telah menghantar notis kepada pihak polis pada 14 Jun lalu, namun mereka tidak menghantar kebenaran kepada Perbadanan Putrajaya.

PERHIMPUNAN 'Demo Rakyat Lawan Anwar' yang dirancang pada Sabtu ini menyalahi undang-undang kerana tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

Beliau berkata, walaupun pihak penganjur telah menghantar notis kepada pihak pihak polis pada 14 Jun lalu, namun mereka tidak menghantar kebenaran kepada Perbadanan Putrajaya.

“Mereka merancang untuk mengadakan perhimpunan itu pada pukul 4 petang di tempat letak kereta awam berhadapan Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.

BACA LAGI : Majoriti sedia jadi gelanggang neutral, Isham Jalil masih tunggu Rafizi

BACA LAGI : Peruntukan PRK: Kenyataan berpandukan keputusan mahkamah, jelas Ahmad Maslan

"Bagaimanapun, Perbadanan Putrajaya tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di sana, jadi kami menasihatkan penganjur supaya tidak meneruskan perhimpunan itu.

"Antara syarat kelulusan penganjuran perhimpunan aman adalah perlu mendapat kebenaran daripada pemilik tanah di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya pada Khamis.

PDRM menerima 85 laporan polis daripada orang ramai susulan daripada video yang mengajak orang ramai hadir perhimpunan 'Demo Rakyat Lawan Anwar'.

Rusdi turut menasihatkan orang awam untuk tidak menghadiri perhimpunan ini kerana ia tidak mendapat kelulusan.

"PDRM juga menasihatkan agar perhimpunan ini tidak diteruskan bagi menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan Perbadanan Putrajaya.

"Jika penganjur masih bertegas mahu meneruskan perhimpunan itu, polis akan memudahkan tetapi kita juga akan menyiasat di bawah Akta tersebut.

"Kami tidak menolak kemungkinan melakukan sekatan jalan raya dan penutupan jalan. Kami akan bersiap sedia untuk menghadapi yang terburuk," katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga mengesan satu video tular berdurasi tiga minit 41 saat yang mengajak orang ramai hadir perhimpunan tersebut.

Ekoran video tular itu, katanya, PDRM menerima 85 laporan polis daripada orang ramai.

“Tindakan tegas boleh diambil terhadap penganjur dan peserta mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Mereka yang mempunyai pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi talian hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. — The Star/ FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram