Beza pemikiran dan gaya hidup, PIBGN bimbang guru sukarelawan Singapura bawa unsur kurang elok masuk negara


  • Massa
  • Isnin, 24 Jun 2024

PIBGN menyatakan kebimbangan unsur-unsur negatif dari luar negara mungkin meresap ke dalam budaya dan agama tempatan jika guru-guru dari Singapura dibawa masuk tanpa saringan yang teliti. — Gambar Hiasan

MAJLIS Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyarankan agar pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan (KPM) membuat kajian dengan lebih mendalam terlebih dahulu sebelum membawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura.

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, walaupun ia masih dalam peringkat cadangan, namun kerajaan perlu berhati-hati dalam melaksanakan inisiatif tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa kurikulum pendidikan di Singapura berbeza dengan di Malaysia.

BACA LAGI: 'Guru sukarelawan Singapura perlu kental fizikal, mental andai kena mengajar di luar bandar, pedalaman'

BACA LAGI: 'Tiada isu persaingan', NUTP sokong penuh modul guru sukarelawan Singapura jika beri faedah

"Pendidikan dan cara pemikiran serta gaya hidup orang Singapura berbeza dengan kita yang mana perbezaan adat budaya antara kedua-dua negara mungkin menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran.

"Ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan kerana ia melibatkan masa depan pelajar, ibu bapa dan juga golongan pendidik," katanya kepada Majoriti.

Datuk Ali

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan

Beliau turut menyatakan kebimbangan unsur-unsur negatif dari luar negara mungkin meresap ke dalam budaya dan agama tempatan jika guru-guru dari Singapura dibawa masuk tanpa saringan yang teliti.

"Saya khuatir di samping pengajaran Bahasa Inggeris, unsur-unsur lain yang mungkin negatif akan diserapkan.

"Harus saya ingatkan, sukarelawan ini akan ditempatkan di kawasan miskin bandar, desa dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Siapa yang akan memantau mereka ini nanti? Guru-guru yang lain sudah semestinya sibuk dengan tugas hakiki masing-masing," ujarnya.

Sebagai alternatif, Mohamad Ali mencadangkan kerajaan untuk mempertimbangkan untuk melatih semula guru-guru Bahasa Inggeris tempatan yang sedia ada.

"Kita ada ramai guru Bahasa Inggeris yang pakar. Mungkin kita boleh melatih semula mereka dan beri intensif untuk mereka mengajar warga negara kita," ujarnya.

A young teacher points to words on a whiteboard with students seated on the floor. – Unicef Malaysia/Zahri

Guru sukarelawan Singapura akan berkhidmat dan ditempatkan di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak. — Gambar hiasan

"Pada masa sama, KPM juga boleh menyediakan latihan intensif atau kursus khas untuk meningkatkan kepakaran guru-guru tempatan.

"Kita beri fokus kepada Bahasa Inggeris dengan memberi cuti istimewa dan latihan tambahan kepada guru-guru yang sedia ada. Ini akan membantu para guru meningkatkan kemahiran dalam Bahasa Inggeris," katanya.

Beliau juga yakin dengan peningkatan kemahiran dan pendedahan yang mencukupi, guru-guru tempatan dapat memenuhi keperluan pengajaran Bahasa Inggeris di negara ini.

"Saya percaya mereka sanggup berkorban demi anak bangsa dan Pendidikan negara," tuturnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan untuk membawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura.

Sukarelawan guru dari negara jiran itu akan ditempatkan di kawasan miskin bandar, desa dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak dan tidak melibatkan kos tambahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram