Peruntukan PRK: Kenyataan berpandukan keputusan mahkamah, jelas Ahmad Maslan


  • Politik
  • Khamis, 27 Jun 2024

Ahmad mengakui hairan apabila BERSIH mempertikaikan kenyataan beliau.

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa kenyataan beliau berhubung peruntukan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah berdasarkan pada keputusan mahkamah.

Beliau mengakui hairan apabila Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mempertikaikan kenyataan itu.

Ahmad justeru bertindak mencabar kumpulan reformasi pilihan raya itu dengan menyatakan hasrat untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.

BACA LAGI: PRK Sungai Bakap: BN sedia bantu calon Pakatan Harapan

BACA LAGI: BN siap sedia bertaruh 2 PRK DUN di DUN Kelantan, Selangor

"Saya mengikut keputusan mahkamah. Bukankah BERSIH sepatutnya menegakkan undang-undang?

"Saya cabar BERSIH untuk buat kajian tentang keputusan mahkamah tersebut, bawa kembali (ke mahkamah) atas sebab apa dan cabar, maka (nanti) tidak ada lagilah pengumuman," katanya ketika ditemui media selepas program Ceramah Perpaduan di tapak Pasar Malam Sungai Duri, Sungai Jawi, Pulau Pinang pada Rabu malam.

sungai bakap

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Joohari dan Abidin (PN).

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I berkata, beliau telah mengikuti PRK sejak 1990 kecuali di Batang Ai, Sarawak.

"Punyalah banyak (kes seperti ini) sejak tahun 1990 dan tentu saya tahu cerita kerana dulu kes ketika zaman Tengku Razaleigh Hamzah berkenaan pengumuman projek jalan semasa PRK," jelasnya.

Sebelum ini, BERSIH mempersoalkan kenyataan Ahmad yang menganggap, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya menteri atau kementerian menganjurkan program atau mengumumkan peruntukan semasa PRK berlangsung.

Menerusi satu kenyataan, gabungan itu memberitahu, dakwaan Ahmad hanya akan mengekalkan amalan tidak beretika.

Menurutnya, penyalahgunaan dana dan jentera kerajaan bertentangan dengan prinsip proses pilihan raya yang bersih dan adil.

"Ia bertentangan dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Kabinet mematuhi undang-undang sepanjang tempoh PRK Sungai Bakap,” katanya.

Pada 24 Jun lalu, Ahmad dalam satu ceramah dilaporkan berkata bahawa mengumumkan peruntukan atau penganjuran program bukanlah satu kesalahan.

“Mahkamah memutuskan sebelum ini bahawa kerajaan mempunyai hak untuk mengumumkan apa sahaja, tidak kira sama ada semasa pilihan raya kecil atau tidak. Jadi ia bukan satu kesalahan,” tegas beliau.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Joohari dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas. — The Star/N.TRISHA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram