BEKAS ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil menunggu persetujuan daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk berdebat secara langsung di hadapan rakyat dalam gelanggang neutral bagi membentangkan hujah dan jalan penyelesaian tentang isu ekonomi negara ketika ini.
Beliau berkata, dia enggan muncul di podcast Yang Bakar Menteri (YBM) kerana tidak mahu mempopularkan siaran YouTube podcast YBM itu. Untuk rekod, YBM bersiaran setiap dua minggu sekali bersama tetamu yang mewakili semua lapisan masyarakat.
Menurut Isham, ketika ini, banyak pihak memaklumkan bersedia untuk menjadi hos bagi program debat terbuka namun mungkin kesibukan jadual Rafizi menghalang mereka bertemu empat mata.
Portal Majoriti yang beroperasi di Menara Star, Petaling Jaya juga antara yang menawarkan platform buat dua figura politik itu berdebat topik isu semasa termasuk politik dan dasar kerajaan.
"Banyak pihak dah setuju dan tawar untuk menjadi hos sebenarnya. Kalau Rafizi beri persetujuan, bila-bila masa saja saya pergi dekat situ.
"Cuma saya mahu berdebat di gelanggang neutral, bukan dalam podcast dia. Kalau podcast, nama pun sembang-sembang. Saya bukan nak bersembang dan buat apa saya nak popularkan podcast dia?" soalnya.
YBM milik Rafizi bersiaran setiap dua minggu sekali bersama tetamu yang mewakili semua lapisan masyarakat.
Isham juga berpendapat ajakan Rafizi untuk hadir dalam podcast YBM ibarat berlagak seperti jaguh kampung.
"Dia nak ajak orang bergaduh (berbahas), tapi masuk kampung dia. Mana boleh macam tu? Dia (Rafizi) macam jaguh Kampung Dusun, Sarip Dol.
"Jadi, I want to do it in a debate punya form. Biar ada moderator, ada soalan, format yang betul. Ini saya pun tak tahu podcast YBM itu dia nak buat macam mana. Ada soalan dia ke? Dia edit ke? Kita tak tahu.
"Kita masuk 'kampung' orang kan? Jadi orang kata kurang sikit keberkesanannya. Kalau debat, kita buat dekat platform yang neutral. Kita ambil soalan daripada moderator yang neutral dan daripada rakyat.
"Perdebatan itu juga lebih tepat. Kita tak ada banyak buang masa kan? Dia bentangkan dia punya formula. Saya bentangkan saya punya solusi serta cadangan.
"Lepas tu kita bahas dekat situ dan biar rakyat yang tentukan. Podcast ni saya tak tahu. Kadang-kadang dia rekod, kita pun tak tahu," katanya kepada Majoriti.
Pada masa sama, Isham turut menyifatkan Rafizi seorang yang pengecut kerana sering mengelak apabila diajak berdebat.
"Dah lama saya ajak dia berdebat tapi nampaknya takut kot. Bukan nak kata apalah, sebab saya dah ajak dia masuk kali keempat.
"Bagi saya baik berdebat. We go one by one, sebab isunya banyak dan dia ada kelebihan sebab dia menteri, jadi takut apa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram