[VIDEO] ‘Pisang takkan berbuah dua kali’, pemilik rumah tradisional Desa Melor sudah minta nasihat ‘pakar’


  • Massa
  • Selasa, 25 Jun 2024

Jonid Ahmad (gambar kecil) yakin percubaan kali kedua untuk memindahkan rumah pusaka miliknya pada Ahad akan berjaya.

PEMILIK rumah tradisional Melayu di Desa Melor, Serendah di Selangor yakin percubaan kali kedua untuk memindahkan rumah pusaka tersebut pada Ahad akan berjaya.

Pemiliknya, Jonid Ahmad, berkata, percubaan pertama untuk memindahkan rumah menggunakan kudrat manusia atau ‘usung rumah’ pada Sabtu lalu gagal kerana mereka tidak menggunakan teknik yang betul.

"Saya dan beberapa kawan yang lain sudah minta nasihat 'pakar' dan cara yang sesuai untuk memindahkan rumah pusaka tersebut. Insya-ALLAH, saya yakin, percubaan untuk memindahkan rumah kali ini bersama penduduk Desa Melor pasti berjaya.

"Tambahan pula, segala persiapan telah dibuat dengan teliti dan kali ini mungkin ramai juga yang datang membantu," katanya pada Majoriti.

BACA LAGI: Bina tembok tanpa izin: Jiran belum mohon permit, tidak hirau notis — MPKj

BACA LAGI: Sudah lebih 2 tahun buat aduan, warga emas masih tertunggu MPKj jawab isu jiran bina tembok tanpa izin

Bercerita lanjut, Jonid berkata rumah pusaka tersebut sudah berusia lebih daripada 75 tahun.

"Rumah ini pada asalnya dibina di Jalan Temenggung Ahmad dekat Muar, Johor dan dipindahkan ke Serendah apabila saya dan keluarga berpindah ke sini (Serendah).

"Ada 'sentimental value', sayang nak robohkan lagipun rumah ini sudah melalui pelbagai peristiwa bersejarah negara dan banyak kenangan indah dari generasi ke generasi.

"Dulu masa di Muar rumah tersebut kerajaan nak buat pembangunan dan kali ini dipindahkan disebabkan memberi laluan kepada pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)," katanya.

Menurut Jonid yang berusia 73 tahun itu lagi, dia juga tidak mahu menggunakan peralatan moden bagi memindahkan rumah tersebut bagi mengekalkan tradisi orang Melayu lama.

"Kita akan gunakan kudrat manusia macam 'orang lama' dan saya nak generasi muda terutamanya golongan remaja serta kanak-kanak melihat bagaimana orang Melayu memindahkan rumah pada zaman dahulu.

"Lagipun di Selangor dan Kuala Lumpur sudah tiada aktiviti seperti ini. Sudah pasti pindah rumah pusaka ini akan mencipta sejarahnya yang tersendiri nanti.

"Jaraknya juga dekat, hanya 30 meter sahaja dari tapak asal,"ujarnya.

Pada Sabtu lalu, percubaan untuk memindahkan rumah pusaka tersebut gagal walaupun usaha dilakukan.

Aktiviti itu turut disertai, Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun serta Persatuan Pemilik dan penduduk Desa Melor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram