Sudah lebih 2 tahun buat aduan, warga emas masih tertunggu MPKj jawab isu jiran bina tembok tanpa izin


  • Massa
  • Isnin, 17 Jun 2024

Seorang warga emas mendakwa jirannya tidak mengambil peduli untuk merobohkan tembok pagar yang telah dibina walaupun telah diarahkan PBT.

SUDAH lumrah hidup berjiran pasti ada pahit dan manisnya yang tersendiri. Begitulah nasib yang dialami oleh seorang warga emas di Kajang, Selangor apabila dia terpaksa berhadapan dengan jiran yang membina tembok sehingga melangkaui sempadan rumahnya.

Lebih menggeramkan lagi, warga emas berusia 64 tahun yang tidak didedahkan namanya itu mendakwa dia telah meminta jirannya untuk merobohkan tembok tersebut namun tidak diendahkan walaupun telah diarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Luahannya itu turut dikongsikan seorang warga maya di laman media sosial X (Twitter) @SyedAkramin pada Ahad.

"Seorang warga emas di Kajang beritahu jirannya mengubahsuai rumah hingga melanggar sempadan. Saya cadang dia buat aduan ke Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) namun respon yang diterima menyedihkan.

"MPKj suruh dia lantik peguam dan bawa ke mahkamah. Dia tak ada duit. Menteri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming betulkah cara ini?" ciapnya.

Menurut pemilik akaun X itu lagi, aduan itu telah dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sejak 2021 lagi.

"Aduan SISPAA pada 2 Julai 2021 dan SEL.084962. Notis amaran pula telah dikeluarkan pada 9 September 2021 yang mana pemilik rumah dinasihatkan untuk patuhi pembinaan pagar.

"Walaupun dalam laporan tersebut telah dinyatakan 'kod:selesai' namun sehingga kini tembok pagar batu masih macam itu," katanya.

Sehubungan itu, dia tampil membantu warga emas tersebut bagi menyelesaikan masalahnya.

Menjengah ke ruangan komen rata-rata warga maya meminta pihak MPKj dan Menteri KPKT Nga Kor Ming menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

"Sejak bila ubahsuai haram ini MPKj tak boleh ambil tindakan? Kalau ikutkan di bawah akta sedia ada MPKj boleh keluarkan surat untuk merobohkan atau denda sehingga struktur itu di robohkan. Jangan senangkan kerja sahaja MPKj, ambil tindakan segera," tulis @mdscid.

@HannZiq pula berkata MPKj mempunyai kuasa untuk mengarahkan pemilik meruntuhkan tembok tersebut.

"MPKj ada kuasa untuk semak sama ada ubahsuai ada permit atau tidak. Jika tak ada, boleh kompaun dan arah runtuhkan. Permit pula jika nak dapatkan perlu ada pelan ubahsuai diluluskan supaya tak ganggu jiran sebelah menyebelah," tulisnya.

Menurut @adrul16 pula, jiran warga emas tersebut berkemungkinan sudah menyerahkan pelan pengubahsuaian dan diluluskan.

"Sudah dua tahun, rasanya MPKJ dah tutup file. Jiran yang renovate (ubah suai) itu mungkin ada menyerahkan pelan dan lulus.

"Isu asal dinding tak plaster side pengadu. Selesai. Pengudaraan nampak depan itu mcm ada lagi. Rasanya pengadu masih tak berpuas hati oleh itu MPKJ cadang tindakan undang-undang," tulisnya.

Majoriti sudah menghubungi pihak MPkj namun tiada jawapan diterima setakat ini.

Dalam kes berasingan, seorang pemilik rumah pula buntu selepas jirannya media meminta dia merobohkan tembok dinding bahagian dapur rumahnya yang telah diubah suai.

Melalui perkongsian di Laman Facebook Malaysia! Networks pemilik rumah tersebut memberitahu dia jirannya telah meminta dia untuk merobohkan struktur bangunan tersebut kerana telah melangkaui sempadan.

"Mengikut kontraktor saya (kontraktor berdaftar) bangunan dibina di atas sempadan memandangkan saya berkongsi sempadan dengan jiran tetapi owner rumah sebelah kata saya telah makan sempadan dia.

"Dia tidak bersetuju dengan binaan ini dan mengarahkan saya untuk memecahkan binaan tersebut dan bina semula di sempadan saya," katanya.

448507707_863907605781389_5331227650937678018_n

Seorang pemilik rumah pula buntu selepas jirannya media meminta dia merobohkan tembok dinding bahagian dapur rumahnya yang telah diubah suai.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai respons dalam kalangan netizen dan ada juga yang berpendapat pemilik rumah tersebut untuk merobohkan semula dindingnya untuk mengelakkan masalah di kemudian hari.

Seorang pengguna Facebook, Idris Minin berkata, setiap kali hendak melakukan ubah suai rumah, pemilik seharusnya mendapatkan kelulusan jiran dan semakan PBT terlebih dahulu.

"Buat semakkan pelan di PBT tempatan atau pejabat ukur serta pejabat tanah dan galian. Kemudian lantik juru ukur berlesen untuk mencari kedudukan sebenar batu sempadan untuk mengelak persengketaan. Jangan ambil mudah perkara ini," katanya.

Kamarul Arifin pula berkata untuk membina tembok atau pagar rumah tidak seharusnya dibina atas garis sempadan.

"Dinding pemisah sempadan antara rumah biasanya double brick, separuh dalam kawasan kita, separuh lagi rumah sebelah punya. Kalo nak tambah dinding sempadan, jangan bina atas garis sempadan dan pastikan bina dalam kawasan sendiri," katanya.

Untuk makluman sekiranya, pemilik rumah ingin melakukan pengubahsuaian, mereka perlu melakukan semakan dengan pihak berkuasa mengenai jenis pengubahsuaian rumah yang ingin dilakukan.

Pemilik juga perlu mendapatkan pengesahan bertulis daripada PBT. Anda juga boleh bertanya mengenai skop kerja yang dibenarkan, seperti keperluan ‘unduran’, iaitu jarak minimum dari sempadan untuk mendirikan bangunan, tiang dan dinding anda, serta sekatan ketinggian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram