Remaja hamil cedera parah, kandungan 5 bulan gugur lepas kena timpa pokok di Perlis


  • 112
  • Ahad, 23 Jun 2024

Keadaan motosikal yang dinaiki mangsa bersama suaminya selepas ditimpa pokok tumbang semasa ribut melanda di Kampung Padang Benta pada awal pagi Ahad. — PDRM

SEORANG remaja hamil yang cedera selepas kemalangan motosikal bersama suaminya akibat ditimpa pokok tumbang semasa ribut melanda di Kampung Padang Benta dekat Simpang Empat, Perlis pada awal pagi Ahad mengalami keguguran apabila kandungannya disahkan meninggal dunia, lapor Harian Metro.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar mendapati, Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18, yang menunggang Yamaha Y15 mengalami pendarahan kepala dalam kejadian itu.

“Selain itu, Nuraleya Syazreena turut patah tulang pinggang kiri dan kanan, manakala kandungannya yang berusia lima bulan disahkan meninggal dunia oleh doktor.

BACA LAGI: [VIDEO] Kempunan tengok majlis korban, budak lelaki hampir buta kena gigit anjing jiran

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki maut tersepit, lori bawa generator elektrik terjunam masuk lubang jalan mendap di Jambatan Bailey

“Dia masih dirawat di wad kecemasan HTF bersama suaminya yang patah tulang paha kaki kanan,” katanya pada Ahad.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, Nuraleya Syazreena menunggang motosikal berkenaan manakala suaminya, Muhammad Danish Hakim Hanizam, 18, membonceng.

“Kejadian pukul 3 pagi itu berlaku ketika pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang dari sebuah kedai makan di Sungai Baru, Simpang Empat menuju ke kediaman mereka di Kampung Sungai Bugis.

“Tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian, sebatang pokok tumbang menghempap motosikal dinaiki mereka,” katanya.

Kedua-dua mangsa dibawa ke HTF Kangar untuk rawatan.

448830496_122168581022086085_7005201565939861004_n

Kejadian pukul 3 pagi itu berlaku ketika pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang dari sebuah kedai makan di Sungai Baru, Simpang Empat menuju ke kediaman mereka di Kampung Sungai Bugis. — Facebook

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata, sebanyak 48 rumah mengalami kerosakan dalam dua kejadian ribut yang melanda Perlis pada Ahad dan Jumaat lepas.

"Berdasarkan angka yang dikemas kini dari semasa ke semasa itu, sebanyak 37 rumah rosak dalam kejadian pagi ini manakala 11 rumah terjejas pada Jumaat lepas.

"Kebanyakan rumah itu rosak pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram