Kelulusan serta-merta permohonan lengkap pengangkutan layak SKDS


  • Primer
  • Ahad, 23 Jun 2024

Setakat 23 Jun lalu, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah sebanyak 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.

PERMOHONAN lengkap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan akan diberikan kelulusan serta-merta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ dan surat kelulusan akan dikeluarkan serta-merta untuk membolehkan syarikat pengangkutan yang berjaya terus membuat permohonan fleet card kepada syarikat minyak pilihan melalui sistem sama.

“Proses permohonan adalah mudah dan cepat kerana syarikat hanya perlu mengisi maklumat terhad dan pengesahan boleh dibuat segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

BACA LAGI: Formula subsidi diesel mula berhasil? Ramai bongkar dalang seludup lepas operator bas, pelancongan Singapura naik harga servis

BACA LAGI: Ada sengaja tak mohon fleet card, pemerhati kongsi cara 'detect' syarikat naikkan harga lepas penyasaran subsidi diesel

“Sehubungan itu, syarikat-syarikat yang tersenarai dalam 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan yang berkelayakan adalah disarankan membuat permohonan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kelulusan yang diperoleh sehingga 30 Jun ini membolehkan syarikat pengangkutan memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat-syarikat minyak pilihan.

Selaras dengan kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pada 12 Jun lalu, bayaran tuntutan balik akan dilaksanakan bermula Julai depan untuk mereka yang mendaftar dan mendapat kelulusan SKDS sehingga 30 Jun 2024 sahaja.

On the lookout: Some 900 officers will monitor any change in prices or unreasonable price hikes after the government kicked off the targeted diesel subsidy on June 10. — ONG SOON HIN/The Star

KPDN menegaskan agar semua peniaga terutama kepada mereka yang menerima kemudahan subsidi diesel melalui fleet card tidak menaikkan harga dengan memberikan alasan penetapan harga diesel baharu sebagai punca kenaikan harga barangan atau perkhidmatan. — Gambar Hiasan

Prosedur permohonan tuntutan dan tatacara pembayaran balik akan dimaklumkan oleh MOF dalam masa terdekat.

Melalui kenyataan itu juga, KPDN turut mengingatkan semua syarikat yang telah diluluskan SKDS agar tidak menyalahgunakan fleet card yang diberikan bagi tujuan selain daripada syarat kelayakan permohonan kenderaan yang telah diluluskan.

“Sekiranya berlaku penyalahgunaan fleet card oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, KPDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik kelulusan fleet card kenderaan terbabit,” tegasnya.

Setakat 23 Jun lalu, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah sebanyak 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.

Dalam pada itu, KPDN juga sedang menyelaraskan rayuan-rayuan sektor pengangkutan tertentu yang ingin menyertai SKDS untuk dibawa kepada Jawatankuasa Rayuan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dan seterusnya diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat Jemaah Menteri.

"Kementerian juga ingin menegaskan agar semua peniaga terutama kepada mereka yang menerima kemudahan subsidi diesel melalui fleet card tidak menaikkan harga dengan memberikan alasan penetapan harga diesel baharu sebagai punca kenaikan harga barangan atau perkhidmatan mereka.

"KPDN telah menggerakkan semua kekuatan anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di seluruh negara untuk terus memantau harga barang atau perkhidmatan di semua peringkat rantaian.

“Sekiranya didapati berlaku aktiviti pencatutan, maka KPDN akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.” tambahnya.

Pada masa sama, KPDN turut menghargai kerjasama yang telah diberikan oleh peniaga-peniaga yang beretika serta tidak melakukan aktiviti pencatutan atau menaikkan harga sewenang-wenangnya selari dengan penetapan harga baru diesel di pasaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram