Ketua Pemuda PAS persoal larangan guna padang sekolah, KPM tunggu respons JPN


  • Tular
  • Sabtu, 08 Jun 2024

Pelajar sekolah SRITI Darul Ulum dekat Alor Setar, Kedah didakwa dihalang daripada menggunakan padang sekolah kebangsaan yang bersebelahan. — Facebook/SRITI

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) digesa untuk menghentikan sebarang tindakan berbaur politik yang didakwa menghalang Sekolah Rendah Islam (SRITI) Darul Ulum dekat Alor Setar, Kedah daripada menggunakan padang sekolah kebangsaan yang bersebelahan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan tersebut seumpama mengabaikan kepentingan pendidikan dan kebajikan pelajar.

"Sebelum ini permohonan penggunaan padang sekolah tersebut bagi membuat latihan sukan untuk kejohanan-kejohanan sukan dibenarkan setiap tahun, namun dihalang oleh pihak KPM pada tahun ini.

BACA LAGI: Tiada istilah SBP elit, tempoh pelantikan pengganti pengetua bergantung pelbagai faktor — KPM

BACA LAGI: Sekolah berasrama penuh berstatus elit di Ipoh didakwa ada 'kuasa' pilih pengetua, ibu bapa minta KPM kawal pertukaran elak jejas prestasi pelajar

“Saya pernah hadir ke sekolah kebangsaan itu melihat dan menghantar anak saya yang turut bersekolah di sini tetapi pada hari ini saya dimaklumkan pihak kementerian (KPM) sudah tidak membenarkan padang sekolah kebangsaan itu tidak boleh digunakan oleh mana-mana pelajar SRITI," katanya dalam perkongsian di media sosial TikTok miliknya.

2410434

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden

Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar itu turut mempersoalkan tujuan KPM terutamanya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berbuat sedemikian rupa.

“Saya nak tanya menteri. Kenapa yang nak politik sampai ke budak kecil sekolah pun hang (kamu) nak politik? Depa (pelajar) nak pergi masuk sekolah nak berlatih bola sepak. Nak berlatih sukan kejohanan sukan.

"Bukan nak pacak bendera PAS dan bukan nak bawa bendera PN (Perikatan Nasional). Pelajar hanya nak berlatih sukan,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, sekolah SRITI berdaftar dengan Majlis Agama Islam, dan bukannya pertubuhan haram sehingga perlu disekat penggunaan padang sekolah kebangsaan.

“Kenapa dengan politik sampai macam itu sekali? Sudahlah sebelum ini kek daripada Ahli Parlimen pembangkang pun tak dibenarkan masuk sekolah. Ini budak-budak sekolah pun nak sekat. Menteri Pendidikan apa macam ini?

“Nak bawa pendidikan arus mana? Nak bermusuh, dendam kesumat sampai tak sudah. Cukup-cukuplah berpolitik. Turunlah daripada jawatan menteri itu. Gagal kamu sebagai Menteri Pendidikan,” kata beliau.

Sementara itu, KPM ketika dihubungi Majoriti berkata pihaknya sedang meneliti isu tersebut dan sedang mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Katanya, berkemungkinan besar faktor penolakan disebabkan oleh pematuhan Garis Panduan SPI Bilangan 4 Tahun 2023, Para 4.1.

"Melalui garis panduan tersebut menyatakan yang menyatakan bahawa permohonan mengundang orang kenamaan dan ahli politik ke program, aktiviti, majlis institusi pendidikan hendaklah mendapat kelulusan daripada pihak JPN atau KPM," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram