Setiap binaan tambahan tanpa dapat kebenaran jiran, boleh dikenakan tindakan undang-undang Tort — Peguam


  • Massa
  • Khamis, 20 Jun 2024

Pemilik rumah yang melakukan ubah suai tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah konsep perundangan yang dikenali sebagai 'law of trespassing'.

ADALAH menjadi lumrah bagi setiap pemilik rumah mengubah suai kediaman mereka untuk mengetengahkan konsep diidamkan.

Tidak kurang juga, ada yang membuat binaan tambahan kepada struktur bangunan asal untuk meluaskan ruang atau privasi diri.

Setiap renovasi yang dilakukan oleh pemilik kediaman itu pastinya mempunyai tujuannya yang tersendiri.

BACA LAGI: Sudah lebih 2 tahun buat aduan, warga emas masih tertunggu MPKj jawab isu jiran bina tembok tanpa izin

BACA LAGI: Bina tembok tanpa izin: Jiran belum mohon permit, tidak hirau notis — MPKj

Namun, ramai yang tidak sedar setiap binaan tambahan tanpa mendapat kebenaran jiran juga boleh dikenakan tindakan undang-undang walaupun telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seorang peguam, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar menjelaskan bahawa pemilik rumah yang melakukan ubah suai tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah konsep perundangan yang dikenali sebagai 'law of trespassing'.

"Ini bermakna, apabila seseorang melanggar sempadan atau wilayah milik orang lain tanpa izin, ia merupakan satu kesalahan dari sudut undang-undang.

"Apabila berlakunya pencerobohan, ia bermaksud seseorang telah memasuki atau menggunakan kawasan milik orang lain tanpa kebenaran, yang mana ia adalah salah di sisi undang-undang Tort (kecuaian)," katanya kepada Majoriti.

Tort adalah suatu kesalahan sivil yang berlainan daripada pelanggaran kontrak, di mana undang-undang melibatkan ganti rugi.

Undang-undang Tort bertujuan melindungi kepentingan seseorang individu dalam keselamatannya, tanah milikannya, sumber kewangannya, atau reputasinya.

Menurut Muhamad Akmal, Undang-undang Tort membolehkan individu yang terjejas untuk mengambil tindakan sivil terhadap penceroboh.

"Pihak yang terjejas boleh menuntut ganti rugi melalui tindakan sivil. Mangsa boleh meminta ganti rugi am dan ganti rugi khas.

"Ganti rugi am adalah pampasan yang ditafsirkan oleh mahkamah berdasarkan kerugian yang dialami, manakala ganti rugi khas merujuk kepada pampasan spesifik, contohnya kerugian wang ringgit yang dialami akibat pembinaan tembok tanpa izin," jelas beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Majoriti berhubung luahan seorang warga emas yang terpaksa berhadapan dengan jiran yang membina tembok sehingga melangkaui sempadan rumahnya di Kajang, Selangor.

Warga emas berusia 64 tahun yang tidak didedahkan namanya itu mendakwa, dia telah meminta jirannya untuk merobohkan tembok tersebut namun tidak diendahkan walaupun telah diarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak dua tahun yang lalu.

2588888

Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar

Jelas peguam lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu lagi, selain daripada tuntutan ganti rugi, pihak yang terjejas juga boleh meminta mahkamah untuk mengembalikan keadaan kepada asal.

"Pengadu boleh memohon kepada mahkamah supaya penceroboh mengembalikan struktur bangunan kepada keadaan asalnya.

"Ini bermakna, sebarang ubah suai yang dilakukan tanpa izin harus dirobohkan dan dikembalikan kepada bentuk asal yang tidak mengganggu mana-mana pihak.

"Untuk menyokong tuntutan ini, bukti dan hujah-hujah dari pihak berkuasa tempatan seperti majlis perbandaran boleh digunakan.

"Kita boleh menggunakan bukti daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyatakan bahawa ubah suai tersebut adalah satu kesalahan," ujar beliau.

Muhamad Akmal turut mengingatkan bahawa walaupun undang-undang ini tidak mempunyai seksyen atau akta yang spesifik, prinsip undang-undang Tort memberikan hak kepada individu yang terjejas untuk mendapatkan keadilan melalui mahkamah sivil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram