'Talent' anak muda lari ke luar negara jika lanjut usia bersara ke 65 tahun, kata MBM


  • Massa
  • Ahad, 09 Jun 2024

Mengekalkan pekerja yang lebih tua dalam tenaga kerja akan menyebabkan kekurangan ruang serta peluang bagi golongan muda untuk menyumbang dan berkembang dalam pelbagai sektor. 

SARANAN pakar supaya umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun bagi menampung peningkatan jangka hayat mendapat reaksi pelbagai dalam kalangan masyarakat merangkumi pelbagai peringkat umur.

Walaupun langkah itu dilihat sebagai salah satu usaha dalam memastikan kestabilan kewangan individu, namun ia juga berisiko memberi implikasi kurang baik terhadap pasaran kerja buat generasi muda.

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Syafiq Ridzwan Jamaluddin menegaskan bahawa tindakan tersebut berkemungkinan akan menjejaskan peluang pekerjaan dan pembangunan bakat anak muda.

BACA LAGI : Naikkan juga gaji minimum pekerja belia swasta — Majlis Belia Malaysia

BACA LAGI : Kakitangan didakwa tak produktif, ada yang gesa kerajaan kaji semula kenaikan gaji kakitangan PTG

"Mengekalkan pekerja yang lebih tua dalam tenaga kerja dan menaikkan umur persaraan itu sebenarnya akan menyebabkan kekurangan ruang serta peluang bagi golongan muda untuk menyumbang dan berkembang dalam pelbagai sektor.

"Sekiranya kita kekalkan 'orang lama', kita hilang talent (bakat) anak muda.

"Seboleh-bolehnya, kita tidak mahu ini terjadi. Kita tak nak suatu hari nanti ramai anak muda yang berbakat berhijrah ke negara lain kerana tidak mempunyai peluang.

"Ini adalah satu kerugian buat negara sedangkan ramai anak muda yang berbakat dan bijak pandai di luar sana," katanya kepada Majoriti.

Copy of MBM14886

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Syafiq Ridzwan Jamaluddin

Jelas Syafiq Ridzwan lagi, beliau mengakui, saranan pakar untuk menaikkan umur persaraan bertujuan memastikan kestabilan kewangan bagi individu dalam tempoh persaraan.

Bagaimanapun ujarnya, terdapat kaedah lain yang boleh dipertimbangkan untuk mengatasi isu tersebut tanpa menjejaskan peluang pekerjaan bagi golongan muda.

"Kita perlu mencari penyelesaian yang lebih seimbang, seperti memperkukuh sistem kewangan atau mewujudkan satu skim pekerjaan buat golongan yang sudah berumur.

"Contohnya bagi kakitangan kerajaan, mereka boleh mewujudkan skim kerja kontrak bagi pekerja yang sudah berusia dan perlu ada had serta syarat tertentu dan begitu juga dengan pekerja swasta.

"Keputusan yang diambil haruslah mempertimbangkan kepentingan semua pihak, terutama golongan muda yang merupakan aset masa depan negara," katanya.

Golongan muda cenderung lebih cepat menyesuaikan diri dengan teknologi baharu dan perkembangan digital. — Gambar Hiasan

Beliau turut menegaskan bahawa menaikkan umur persaraan akan memperlahankan kadar kemajuan teknologi dan inovasi dalam industri, berikutan golongan muda sering kali menyuarakan idea-idea segar dan pendekatan yang lebih dinamik.

"Golongan muda adalah agen perubahan yang penting dalam mana-mana industri. Mereka membawa bersama kemahiran terkini, perspektif baharu dan kesediaan untuk mengambil risiko yang sering kali diperlukan dalam proses penciptaan teknologi baharu.

"Di samping itu, golongan muda cenderung lebih cepat menyesuaikan diri dengan teknologi baharu dan perkembangan digital.

"Jika peluang mereka untuk memasuki dan maju dalam industri dihalang, ia boleh mengakibatkan kelembapan dalam penerapan teknologi baharu," ujarnya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif D3P yang juga firma perundingan pencen global, William Price berkata, had usia persaraan di Malaysia ketika ini adalah antara yang terendah bukan saja di peringkat global tetapi negara serantau yang lain.

Beliau berkata, persaraan wajib di Malaysia yang ditetapkan pada usia 60 tahun secara relatifnya lebih rendah berbanding negara lain seperti usia persaraan di Jepun ditetapkan pada usia 65 tahun dengan saiz warga emas tertinggi di negara itu.

"Sehubungan itu, had usia persaraan di Malaysia perlu dinaikkan daripada 60 ke 65 tahun dalam tempoh terdekat kerana terdapat pelbagai keperluan mendesak mengenainya terutamanya dalam purata jangka hayat individu negara sekitar 75 tahun ke atas," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram