[VIDEO] Lelaki cedera parah, aksi tikam-menikam sekumpulan lelaki bergaduh di 'Kedai CC' dirakam dekat Ipoh


  • Tular
  • Rabu, 29 Mei 2024

Tangkap layar sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan senjata tajam di sebuah pusat komputer dekat Ipoh, perak pada Selasa.

SEORANG lelaki dipercayai cedera parah selepas terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah pusat komputer dekat Ipoh, Perak pada Selasa.

Beberapa video dan gambar kejadian yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan turut tular di aplikasi WhatsApp dan laman media sosial pada Rabu.

Menerusi satu video berdurasi lebih seminit memaparkan keadaan di dalam pusat komputer itu berada dalam keadaan tenang sebelum empat individu menggunakan topi keledar secara tiba-tiba meluru masuk dan menyerang kedua-dua mangsa yang sedang melayari komputer.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis cari penunggang mikromobiliti bahayakan nyawa orang lain di Bandar Tasik Puteri

BACA LAGI: [VIDEO] Elektrik putus tiba-tiba lepas mengaji, lebih 30 murid perempuan kena histeria

Mangsa terlebih dahulu dilihat ditumbuk dan ditendang beramai-ramai oleh suspek serta dipukul menggunakan topi keledar sebelum mereka beredar.

Namun salah seorang daripada suspek terus memukul mangsa walaupun rakannya telah keluar daripada premis tersebut. Melihat mangsa yang terbaring, suspek cuba untuk keluar sebelum rakan mangsa membaling sesuatu sehingga menyebabkan dia terjatuh.

Ekoran daripada itu, mangsa mengambil senjata dipercayai sebilah pisau dan terus menikam mangsa bertubi-tubi walaupun cuba dileraikan oleh rakannya.

Beberapa pelanggan yang berada di premis itu juga dilihat bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki berusia 24, yang mendakwa diserang sekumpulan lelaki pada Selasa.

"Kejadian berlaku kira-kira 10.45 malam ketika mangsa bermain permainan komputer dan secara tiba-tiba datang lima individu menyerang mangsa dan rakannya.

"Berikutan itu, pengadu dan beberapa rakannya mengalami kecederaan akibat diserang dengan pisau,” katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan lima lelaki yang disyaki terlibat dalam insiden tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Polis sedang mengesan lima lelaki disyaki terlibat dalam kejadian pergaduhan di sebuah kedai permainan komputer di kawasan Buntong di sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada seorang lelaki berusia 24, semalam yang mendakwa diserang kesemua suspek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram