[VIDEO] Polis cari penunggang mikromobiliti bahayakan nyawa orang lain di Bandar Tasik Puteri


  • 112
  • Ahad, 26 Mei 2024

Tangkap layar seorang wanita (bulatan merah) menunggang sebuah kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya di Bandar Tasik Puteri dekat Rawang, Selangor pada Sabtu.

TINDAKAN seorang wanita menunggang sebuah kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya di Bandar Tasik Puteri dekat Rawang, Selangor pada Sabtu menjadi bualan dalam kalangan warga maya pada ketika ini.

Manakan tidak, wanita itu kelihatan bersahaja menunggang kenderaan jenis skuter elektrik tersebut tanpa menggunakan topi keledar.

Tambahan pula, kenderaan yang digunakannya itu diharamkan untuk digunakan di atas jalan raya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dulu setinggan Indonesia, sekarang Rohingya pula 'conquer' Kuala Lumpur'

BACA LAGI: Lesen memandu jauh lebih mahal berbanding gaji minimum, desak wujudkan subsidi bersasar atau tetapkan harga siling

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengecam tindakan wanita berkenaan kerana didakwa membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

"Anak-anak tolong pantau mak bapak yang guna skuter itu," kata Lepat Pisang.

"Kenderaan ini, kalau nak main di taman, pergi beli barang atau masjid okay tetapi kalau sudah sampai ke jalan besar berbahaya. Kena langgar mati katak. Anak-anak, tolong pantau mak ayah kamu," tegur Haliff Nahar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya sedang mengesan wanita yang menunggang kenderaan mikromobiliti selepas videonya wanita itu tular di media sosial pada Sabtu.

"Polis mengesan video tular berdurasi 30 saat kira-kira pukul 12 tengah hari Sabtu.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kenderaan tersebut telah ditunggang dari arah Persiaran Tan Sri Low Yow Chuan menghala ke Persiaran Lembah Hijau 3 di Bandar Tasik Puteri menggunakan lorong paling kanan.

“Perbuatan ini boleh mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada penunggang mikromobiliti, tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Pihak polis sedang mengesan penunggang kenderaan mikromobiliti dan meminta pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) untuk tampil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Kaedah 3(1) P.U.(a) 453/202 (menggunakan kenderaan mikromobiliti tertentu yang dilarang).

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Mazlan Mohd Arifin di talian 012-4551413 atau bilik gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram