[VIDEO] Pegawai ahli politik patah kaki, antara lebih 50 cedera pentas runtuh semasa kempen pilihan raya di Mexico


  • Benua
  • Khamis, 23 Mei 2024

Angin kencang menyebabkan sebahagian daripada pentas runtuh semasa acara kempen pilihan raya di timur laut Mexico pada Rabu. — Agensi

SERAMAI sembilan orang maut manakala puluhan lagi dipercayai cedera apabila angin kencang menyebabkan sebahagian daripada pentas ala konsert runtuh semasa acara kempen pilihan raya di timur laut Mexico pada Rabu malam.

Kejadian itu berlaku semasa perhimpunan yang dihadiri oleh calon presiden, Jorge Alvarez Maynez. Beliau bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.

Pada waktu kejadian, Maynez daripada parti kecil berhaluan kiri tengah, Movimiento Ciudadano, berada di atas pentas bersama calon datuk bandar dan beberapa yang lain semasa kejadian berlaku di bandar San Pedro Garza Garcia, berhampiran Monterrey.

BACA LAGI: [VIDEO] Dua beradik perempuan hanya mampu menangis lihat ayah lemas dan tenggelam depan mata sendiri di Jawa Timur

BACA LAGI: Polis syak dendam jadi motif tapi murid dakwa terdengar bisikan sebelum tikam ustazah depan anak

Memetik laporan media antarabangsa, Maynez tidak mengalami kecederaan sementara pegawainya, Laura Ballesteros yang juga koordinator kempen pilhan raya dimasukkan ke hospital kerana patah kaki.

Menurut Maynez, tiupan angin kencang menyebabkan sebahagian daripada pentas itu runtuh dan menghempap orang awam.

"Saya tidak pernah mengalami insiden seperti ini," katanya dan memaklumkan beliau akan menangguhkan untuk berkempen seketika.

Dalam pada itu, Gabenor Nuevo Leon, Samuel Garcia berkata, sembilan orang, termasuk seorang kanak-kanak, maut dan 50 lagi mengalami kecederaan.

"Sekurang-kurangnya tiga orang sedang menjalani pembedahan.

"Jika boleh, elakkan keluar kerana terdapat ribut dan angin kencang," kata García dalam satu hantaran di platform media sosial X (Twitter) pada hari yang sama.

Video yang beredar di media sosial menunjukkan struktur besar runtuh ke arah penonton, mencetuskan panik.

Pilihan raya presiden, parlimen dan wilayah dijadualkan berlangsung di Mexico pada 2 Jun ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram