Autisme hanya perbezaan, bukannya kekurangan


  • Sihat
  • Jumaat, 07 Apr 2023

Masyarakat perlu diberi pendedahan mengenai autisme melalui Hari Kesedaran Autisme Sedunia. — Gambar hiasan

HARI Kesedaran Autisme Sedunia disambut pada 2 April setiap tahun. Hal ini kerana, masyarakat perlu diberi pendedahan bahawa autisme bukan satu kekurangan tetapi perbezaan.

Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) meraikan Hari Kesedaran Autisme Sedunia (WAAD) dengan mengadakan aktiviti di seluruh negara yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan penerimaan terhadap gangguan spektrum autisme yang menjejaskan individu dan keluarga di seluruh dunia.

Menurut Presiden NASOM, Dato' Megat Ahmad Shahrani Bin Megat Shahruddin, tujuan mereka adalah jelas untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan menerima potensi penuh golongan autisme atau Person with Autism (PWA) dengan memberi sokongan dari segi pengetahuan, sumber dan inovasi sosial.

1185943155

Kanak-kanak autisme berkelakuan tidak normal dan sukar komunikasi dengan orang lain.

"Visi kami adalah untuk mengambil bahagian dalam komuniti mereka dan menjalani kehidupan yang bermakna dengan mengambil berat serta belas kasihan dalam semua segmen masyarakat untuk menggalakkan kesaksamaan dan peluang yang sama," katanya.

Selain itu, Pengerusi NASOM, Julian Wong Ming Vui mengatakan dia juga berharap dengan transformasi Malaysia kini terutamanya pihak kerajaan agar mampu menyediakan peluang untuk mengukuhkan pendekatan pembangunan inklusif kurang upaya dalam semua elemen terutamanya pembangunan komuniti autisme. Hal ini kerana, sejajar dengan Transformasi tema WAAD Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2023 (PBB) iaitu "Ke Arah Dunia Neuro-Inklusif untuk Semua”.

Oleh itu, sempena bulan Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut sepanjang bulan April, NASOM telah bergabung tenaga dengan TikTok sebagai platform utama dalam menghasilkan video pendek mudah melalui kempen #KasihiAutism, iaitu satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran serta mengumpul dana bukan sahaja di Malaysia namun terbuka kepada negara luar.

Di samping itu, TikTok Malaysia akan menjadi tuan rumah dalam menyalurkan aktiviti yang menarik dengan menerapkan kandungan berbentuk pendidikan dan Karnival Amal secara LIVE di TikTok bersama rakan kongsi seperti selebriti, rakan media dan kerajaan serta pencipta kandungan kesihatan (healthcare creators). Dana yang terkumpul daripada inisiatif tersebut akan disalurkan kepada NASOM dan komuniti autisme di Malaysia.

“Kami teruja untuk memulakan usaha dengan TikTok dalam mendidik rakyat Malaysia tentang kepentingan mewujudkan ruang yang selamat dan inklusif untuk komuniti autisme, terutamanya ibu bapa, penjaga dan pendidik melalui kempen #KasihiAutism,” kata Presiden NASOM.

autisme

Bukan ibu bapa sahaja malah masyarakat juga perlu mengambil perhatian mengenai autisme.

Autism Spectrum Disorder (ASD) atau Autisme adalah gangguan perkembangan neuro sepanjang hayat yang mana mempengaruhi keupayaan kanak-kanak dalam berkomunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku dengan masyarakat.

Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang ditubuhkan pada 1986 oleh sekumpulan ibu bapa dan golongan profesional dengan matlamat untuk menyampaikan perkhidmatan sepanjang hayat kepada komuniti penghidap autisme. Ia telah didaftarkan pada 3 Mac 1987 sebagai pertubuhan amal kebangsaan dan berusaha untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan untuk membantu penghidap autisme terutamanya kanak-kanak dan ahli keluarga terdekat mereka.

NASOM menjalinkan kerjasama dengan beberapa organisasi dan media untuk mendekati lebih ramai orang dalam memberi pendedahan mengenai autisme melalui ceramah kesedaran, bengkel dan aktiviti yang melibatkan komuniti autisme. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram