SEORANG wanita panik apabila anaknya yang disahkan menghidap penyakit autisme semasa berusia tiga tahun kini mulai menunjukkan tanda-tanda yang semakin membimbangkan meskipun terdahulu pernah menunjukkan tanda untuk pemulihan.
Dalam satu hantaran di Facebook, @Suzy Ilalut berkata, pada awalnya doktor menjelaskan bahawa anaknya tidak perlu ke pusat terapi tetapi hanya perlu berbuat beberapa perkara seperti berhenti bermain telefon dan mulai kerap berbicara.
"Alhamdullilah banyak perubahan dan sudah boleh bercakap di samping faham arahan. Tahun ini anak umur lima tahun saya hantar ke tadika kemas, pada awalnya dia okay mahu ke sekolah setiap hari cuma cikgu cakap dia kurang fokus bila cikgu mengajar dia lebihkan berkhayal dalam kelas.
"Sekarang anak sudah sebulan lebih tidak mahu ke sekolah saya pun tidak pasti kenapa. Pihak tadika tidak mahu terima dia ke tadika enam tahun.
"Diminta saya carikan sekolah khas sesuai untuk dia. Hati saya betul-betul hancur, apa yang perlu saya buat? Saya suda daftarkan anak ke pusat terapi swasta tapi macam mana dengan sekolah dia?, " tulisnya.
BACA LAGI: Pintu hati tertutup selama 2 tahun, Yazid Izaham hanya perlukan 5 bulan temui wanita kiriman Tuhan
Anak autisme perlulah mendapat bimbingan dengan sebaiknya. — Gambar Hiasan
Penyakit austisme sememangnya membimbangkan ramai terutama buat para ibu bapa kerana boleh menjejaskan kehidupan anak mereka sehingga besar.
Autisme ringan atau lebih dikenali sebagai mild autism adalah satu keadaan yang termasuk dalam kategori gangguan spektrum autisme (ASD).
Dalam kategori ini, seseorang yang mempunyai simptom autisme ringan tergolong dalam kumpulan autisme tahap 1.
BACA LAGI: Cemas kawan kena serangan jantung ketika bersukan? Pakar kongsi simptom dan ketahui bantuan awal
Ibu bapa perlulah lebih peka untuk membantu perkembangan anak autisme mereka. — Gambar Hiasan
Bagi autisme yang memiliki simptom ringan, keadaan ini mungkin tidak dapat dikesan sehingga kanak-kanak itu sudah memasuki usia dewasa.
Autisme kebiasaannya dikesan lambat pada kanak-kanak perempuan berbanding kanak-kanak lelaki.
Ini kerana, kanak-kanak perempuan cenderung lebih mampu menyembunyikan gejala yang mereka alami berbanding lelaki.
Penghidap autisme tahap 1 akan menerima rawatan dan penjagaan yang bersesuaian dengan kumpulan dalam kategori ASD.
Walaupun mild austism dipanggil keadaan ringan, autisme jenis ini masih boleh menyebabkan pertumbuhan dan perkembangan, gangguan komunikasi dan deria pada kanak-kanak.
Terdapat simptom umum yang biasanya dialami oleh penghidap autisme walaupun simptom ini kebiasaannya berbeza-beza mengikut tahap keterukan masing-masing.
Secara umumnya, tanda-tanda kanak-kanak autisme ringan adalah seperti berikut:
1. Masalah hubungan sosial
Kanak-kanak autisme secara amnya mengalami kesukaran untuk berinteraksi sosial dengan orang lain seperti bermain dengan rakan sebaya mereka.
2. Sukar untuk berkomunikasi
Kesukaran berkomunikasi yang dihidapi kanak-kanak autisme termasuklah kesukaran untuk memulakan atau meneruskan perbualan dengan orang lain.
Pesakit juga tidak dapat memahami bahasa badan seseorang yang berinteraksi dengan mereka di samping juga tidak mengetahui cara untuk menggunakan bahasa badan sendiri.
Kanak-kanak autisme juga memiliki kesukaran untuk berinteraksi menggunakan mata atau membaca ekspresi muka orang lain.
3. Gangguan deria
Gangguan deria termasuk gangguan mendengar, menghidu, merasa atau menyentuh.
4. Tingkah laku berulang atau obsesif
Kanak-kanak autisme secara amnya boleh menjadi sangat fokus dan berminat dalam sesuatu topik atau aktiviti tertentu.
Anak autisme kebiasaannya sangat fokus terhadap sesuatu perkara yang diminati seperti bermain kereta api. — Gambar Hiasan
Sebagai contoh, kanak-kanak autisme yang sangat berminat dengan kereta api akan mendorong keinginannya untuk mengetahui segala-galanya tentang kereta api.
Kanak-kanak juga mungkin mempunyai tabiat tertentu yang mereka suka untuk dilakukan berulang kali.
Walaupun kebanyakan kanak-kanak mild autisme berkemungkinan mengalami simptom di atas, sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami simptom tertentu yang lebih teruk berbanding kanak-kanak autisme yang lain.
Meskipun bukan mudah untuk mendidik kanak-kanak autisme, terdapat pelbagai cara yang boleh dibuat oleh ibu bapa bagi mengembangkan kemahiran anak mereka seperti:
1. Konsisten
Kanak-kanak autisme sukar mengaplikasikan perkara yang dipelajari di sekolah ke tempat lain seperti di rumah.
Ibu bapa perlulah menerapkan persekitaran yang sama untuk bantu memperkukuhkan pembelajaran sekali gus bantu perkembangan anak.
Ibu bapa mungkin boleh menjalankan terapi di lebih daripada satu tempat untuk mendorong anak mengaplikasikan apa dipelajari di persekitaran lain.
2. Rutin sama
Untuk mendidik anak autisme, ibu bapa perlu wujudkan satu jadual rutin yang sama setiap hari.
Ini kerana, anak autisme cenderung melakukan sesuatu hal dengan sebaiknya jika memiliki jadual rutin tersusun.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh menyediakan jadual untuk anak berkaitan waktu makan, sesi terapi, persekolahan dan waktu tidur.
Menghargai sesuatu perkara yang dilakukan anak autisme baik untuk perkembangan mereka. — Gambar Hiasan
3. Ganjaran
Ibu bapa sebaiknya mencuba untuk memberikan ganjaran setiap kali mereka melakukan sesuatu yang baik sebagai galakan positif yang dapat bantu perkembangan kanak-kanak.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh memberikan pujian, pelekat atau membenarkan anak mereka bermain permainan kegemaran setiap kali mereka berkelakuan baik.
4. Zon selamat di rumah
Ibu bapa perlulah menyediakan satu ruangan peribadi khas yang membolehkan anak mereka berasa selamat untuk berehat.
Dengan ini, aktiviti bersama keluarga atau pembelajaran di rumah mudah dilakukan dengan menitikberatkan keselesaan anak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram