Perajurit wanita dari Sarawak antara korban nahas helikopter berlanggar di udara di Lumut


  • Massa
  • Selasa, 23 Apr 2024

Gambar terakhir yang sempat dirakam mangsa perajurit wanita yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Lumut. — Twitter

SERAMAI tiga orang perajurit wanita dipercayai maut dalam nahas dua helikopter berlanggar di ruang udara dan terjatuh di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada Selasa.

Ketiga-tiga mangsa dipercayai menaiki salah sebuah helikopter yang terhempas iaitu HOM (M503-3) yang membawa tujuh orang kru.

Sebuah lagi helikopter iaitu Eurocopter AS555SN Fennec (M502-6) membawa tiga orang kru menjadikan jumlah keseluruhan korban seramai 10 orang.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, identiti mangsa tersebut sudah dikenal pasti.

Mereka ialah Joanna Felicia anak Rohna, Noor Rahiza Anuar dan Noorfarahimi Mohd Saedy.

439665641_7403236566461614_3244086717970440883_n

Satu daripada pesawat yang terhempas selepas pelanggaran di udara di Pangkalan TLDM Lumut pada Selasa. — Orang awam

Sebelum itu, perkongsian sekeping gambar di Twitter (X) menunjukkan identiti ketiga-tiga perajurit tersebut dikenali sebagai PTI Felicia, PO Izzah dan Cip Farah.

Malah, ciapan tersebut menunjukkan kesemua mangsa berada di dalam salah sebuah pesawat terbabit sebelum penerbangan bermula.

Berdasarkan informasi dikongsikan orang awam, Felicia berasal daripada Kuching, Sarawak, sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.

Terdahulu, negara digemparkan dengan kejadian dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

Nahas kemalangan yang meragut 10 mangsa itu melibatkan aset milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika menjalani Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90.

photo_6141129288942992800_y

Pihak bomba sedang mengusung seorang mangsa nahas kemalangan helikopter terhempas di padang stadium pangkalan TLDM Lumut.

Lima lagi kru yang menaiki pesawat HOM (M503-3) dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi dan Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.

Manakala tiga lagi kru yang menaiki Fennec (M502-6) ialah Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan dan Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Kedua-dua helikopter yang terlibat adalah jenis HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) itu berlepas dari Padang Sitiawan pada pukul 9.03 pagi.

Tentera Diraja Malaysia dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pesawat HOM (M503-3) terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Kesemua 10 orang mangsa juga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pihak bomba kini sedang giat melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di lokasi nahas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram