[VIDEO] Risiko wanita dan lelaki di Malaysia menghidap kanser seimbang, beza banding 10 tahun lalu


  • Massa
  • Isnin, 22 Apr 2024

Di Malaysia, penyakit kanser atau turut dikenali sebagai barah merupakan penyebab kematian ketiga tertinggi selepas penyakit jantung dan pneumonia. — Gambar Hiasan

KANSER merupakan penyakit yang paling digeruni kerana ia direkodkan menjadi penyebab kedua kematian di seluruh dunia dengan 9.7 juta pada 2022.

Di Malaysia, penyakit kanser atau turut dikenali sebagai barah merupakan penyebab kematian ketiga tertinggi selepas penyakit jantung dan pneumonia.

Malah, kadar kematian akibat kanser di Malaysia juga meningkat daripada 32 kematian setiap 100,000 penduduk pada tahun 2007, kepada 47 kematian untuk jumlah penduduk sama pada tahun 2022.

Pengarah Institut Kanser Negara (IKN), Dr Mohd Anis Haron@Harun berkata, kadar peningkatan penyakit kanser itu bukan sahaja meningkat di Malaysia tetapi seluruh dunia.

"Kira-kira 60 peratus pesakit kanser yang datang untuk menerima rawatan sudah berada di tahap ketiga iaitu sebanyak 24 peratus dan 40 peratus melibatkan penghidap tahap empat.

"Malah berdasarkan laporan itu juga, sejumlah 168,822 kes baharu dilaporkan bagi tempoh lima tahun bermula 2017 hingga 2021, manakala lima jenis kanser yang paling kerap dikesan adalah kanser payudara, kolorektal (usus besar), paru-paru, limfoma dan hati seperti mana laporan Registri Kanser Malaysia itu," katanya dalam satu sesi temu bual bersama Majoriti di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya baru-baru ini.

Interview Pengarah IKN berhubung tajuk Ramalan Meningkatnya Dua Kali Ganda Kes Kanser di Malaysia Menjelang Tahun 2040—LOW BOON TAT/THE STAR

Pengarah Institut Kanser Negara (IKN), Dr Mohd Anis Haron@Harun

Beliau berkata, berdasarkan data, pesakit lelaki meningkat kepada 107 kes daripada 86 kes bagi setiap 100,000 populasi jantina itu, manakala jumlah pesakit wanita meningkat kepada 121 kes daripada 102 kes bagi setiap 100,000 populasi golongan itu.

"Dalam kata yang lebih mudah, jika pada 10 tahun yang lalu, risiko menghidap kanser untuk tempoh sepanjang hayat (lifetime risk) bagi penduduk Malaysia adalah ratio 1 dalam 9 orang wanita dan 1 dalam 10 orang lelaki.

"Namun kini, risiko tersebut telah meningkat kepada 1 dalam 8 orang bagi kedua-dua lelaki dan wanita," katanya sambil menambah data itu antara intipati laporan kajian berkaitan kanser di negara ini antara 2017 hingga 2021.

Katanya, antara punca peningkatan kes penyakit itu adalah amalan merokok, pengambilan arak, pemakanan tidak sihat, tidak aktif secara fizikal dan obesiti serta pencemaran udara atau bahan kimia.

BACA LAGI: 'Jangan membongak', bekas pesakit kanser tepis dakwaan ejen insurans, kos rawatan kemoterapi hospital kerajaan mahal

BACA LAGI: Peniaga kecil desak haramkan TikTok seperti Indonesia, bimbang senasib pemandu teksi

Sehubungan itu, bekas Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya itu berharap masyarakat lebih peka terhadap sebarang perubahan atau gejala penyakit itu kerana penghidap penyakit ini tidak mengira latar belakang seseorang itu.

Oleh yang demikian, tegasnya, pemeriksaan awal atau ujian saringan adalah penting kerana boleh mengesan kanser pada tahap awal dan ini akan meningkatkan peluang melawan penyakit dan sembuh.

"Kajian menunjukkan antara 30 peratus dan 50 peratus kanser boleh dicegah dengan mengelakkan faktor risiko dan melaksanakan strategi pencegahan berasaskan bukti sedia ada seperti melakukan perubahan gaya hidup yang lebih sihat.

"Beban kanser juga boleh dikurangkan melalui pengesanan awal kanser dan rawatan dan penjagaan yang sesuai bagi pesakit yang menghidap kanser," ujar beliau.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram