PADAH memuat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah ALLAH di laman sosial berkait isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH, dua lelaki dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh mahkamah.
Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, seorang juruteknik aplikasi sosial dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 pada Jumaat, selepas mengaku salah atas tuduhan membuat hantaran bersifat jelik berkaitan kalimah ALLAH di laman sosial.
Tertuduh, Chiok Wai Loong, 34, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat hantaran bersifat jelik tersebut.
Namun, dalam rayuannya, lelaki itu memohon supaya tidak dipenjara kerana tidak mahu kehilangan kerja.
“Saya tidak sengaja, hanya mahu menjadi ‘ keyboard warrior’, saya tidak tahu perkataan itu sensitif kepada orang lain,” katanya memetik The Star.
Hakim Cik Suzana Hussin yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Chiok turut memerintahkannya dipenjara tiga bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah, seorang perunding hartanah dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 atas tuduhan sama, menghina kalimah ALLAH.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ricky Shane Cagampang, 33 tahun, selepas dia membuat pengakuan bersalah atas tuduhan itu di mahkamah pada 21 Mac.
Tertuduh juga boleh dijatuhi hukuman penjara empat bulan lagi jika gagal membayar denda.
Ricky Shane didakwa menyalah guna kemudahan jaringan atau perkhidmatan jaringan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia dan dituduh melakukan kesalahan itu pada 12.05 tengah hari, 17 Mac lalu melalui akaun Facebooknya.
Dalam rayuannya untuk mengurangkan hukuman, Ricky Shane yang berasal dari Tawau, Sabah, memberitahu mahkamah dia adalah seorang mualaf selepas memeluk Islam di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Kota Kinabalu, pada Mac 2021.
Tertuduh mendakwa hanya memberi komen terhadap hantaran di laman Facebook New Straits Times (NST) dan tidak menyedari komennya menyebabkan kesan yang serius hingga dia didakwa di mahkamah.
Katanya, dia sudah menghapuskan komen berkenaan dalam tempoh dua atau tiga minit selepas dimuat naik.
"Kecuaian tindakan saya membuat komen seperti itu dan memuat naik adalah sesuatu yang tidak terfikir dan ia betul-betul berdasarkan emosi saya ketika memberikan maklum balas kepada komen dan hantaran yang lain.
"Saya memohon maaf dengan ikhlas kepada semua yang terkesan oleh hantaran dan komen saya di FB berkaitan dengan agama Islam," katanya.
Tertuduh turut mengaku tidak berniat atau mempunyai motif untuk merendahkan agama Islam.
Dalam pada itu, Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah menggesa agar hukuman tegas dikenakan terhadap tertuduh kerana melakukan komen berbaur penghinaan terhadap mana-mana agama adalah kesalahan serius terutama dalam masyarakat berbilang kaum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram