PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak lagi melakukan sebarang penghinaan terhadap agama, khususnya Islam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH yang mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat Malaysia baru-baru ini.
Beliau turut menegaskan, tindakan perlu diambil supaya tidak ada penghinaan terhadap agama, khususnya Islam.
"Pandangan saya jelas. Ada laporan, ada keterlanjuran, mesti ada tindakan segera, kemudian keputusan ikut jalur hukum dan maju terus.
"Mengapa kita mesti terperangkap dengan isu-isu ini yang berpanjangan? Ada laporan, ambil tindakan. Jangan ada penghinaan terhadap agama, apalagi Islam.
"Jadi jangan kita terus-menerus dengan perbincangan ini yang seolah-olah ini satu malapetaka besar dalam negara," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Madani bersama Petugas Media di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Rabu.
BACA LAGI: Inspektor Sheila bebas pertuduhan aib kehormatan Lans Koperal
Sebelum ini, tular sebuah gambar stoking tertera kalimah ALLAH yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, Selangor dan mencetuskan amarah dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Kedai serbaneka KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) bagaimanapun sudah memohon maaf atas penjualan stoking tersebut di beberapa cawangan kedai milik mereka.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, tindakan tegas perlu dilaksanakan segera dalam usaha memastikan negara terus maju dalam lapangan yang hendak diterokai.
BACA LAGI: Salah ikut kawan pergi kelas KAFA, murid SK Briekfields 2 ditemukan selamat lepas hilang 5 jam
"Saya rasa agak kesal kerana isu besar negara (seperti) soal mengejar pertumbuhan yang lebih rancak, mendepani cabaran digital, teknologi maklumat dengan soal peralihan tenaga, soal kemahiran, kecekalan dan keterampilan anak-anak muda dalam bidang tertentu. Itu semua tidak menarik minat sebahagian tokoh politik," ujarnya.
Anwar dalam pada itu turut berharap bahawa pihak media memainkan peranan mereka dalam memartabatkan rakyat seterusnya melonjak pertumbuhan negara.
"Ini memerlukan ilmu, kecekalan, disiplin, kecintaan terhadap ilmu itu sendiri dan keprihatinan menyantuni masyarakat.
"Saya harap dengan semangat Ramadan, sebagai madrasah Ramadan, dapat kita tingkatkan iman, ilmu dan disiplin," kata beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram