'Ustaz, saya tiada duit,' kisah ibu 2 anak diabai suami minta izin tidur di masjid buat ramai insaf, lebih bersyukur


  • Massa
  • Khamis, 21 Mac 2024

Seorang wanita bersama dua anaknya dikatakan terpaksa menumpang tidur di sebuah masjid baru-baru ini. — Facebook

PERKONGSIAN seorang individu dikenali sebagai Ustaz Abu Hamizan tentang kisah seorang wanita bersama dua orang anaknya dihalau daripada rumah sewa baru-baru ini menyentuh hati ramai.

Menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu, dia bertemu dengan wanita tersebut di sebuah masjid selepas selesai menunaikan solat terawih dan tadarus pada malam itu.

Katanya, ibu kepada dua anak yang masih kecil itu menyapanya dan meminta izin menumpang tidur di masjid berkenaan untuk satu malam sahaja.

BACA LAGI: Langgar syarat, MPBP batal lesen operasi syarikat edar stoking kalimah ALLAH

417514173_358166807004494_9111725459231180915_n

Abu Hamizan yang berkongsi tentang perkara tersebut. — Facebook

BACA LAGI: Deruman kuat enjin jet awal pagi undang resah penduduk Perlis, Kedah

Untuk mendapatkan kepastian, Abu kemudiannya bertanya beberapa soalan kepada wanita berkenaan tentang keberadaannya pada waktu malam di masjid itu.

"Masa itu jam dah hampir pukul 12 malam, dengan anak-anak yang masih kecil dan hanya ada sehelai selimut. Untuk kepastian, saya bertanya kalau akak ni dari mana?

"Kenapa nak tidur di masjid? Anak-anak ini ayahnya di mana?" tulisnya.

Namun, jawapan yang diberikan ibu itu sangat mengejutkannya sekali gus membuatkannya tergerak hati untuk memberikan sedikit bantuan.

Menurutnya, wanita tanpa didedahkan identiti itu diabaikan oleh suaminya dan baru sahaja dihalau keluar daripada rumah sewanya.

"Kata ibu ini, dia baru dihalau dari rumah sewanya, suaminya pula selepas kahwin baharu langsung tak ambil kisah pasal keluarga.

"Dia pula tiada tempat untuk minta pertolongan memandangkan ahli keluarganya tinggal di Selangor.

"Sebelum saya beredar untuk pulang, saya cuba bantu sekadar yang termampu, dia minta izin untuk gunakan sedikit wang sumbangan untuk beli tiket bas dan bakinya untuk makan," kongsinya.

Hantaran itu juga menerima pelbagai respons daripada warga maya yang rata-ratanya tidak dapat menahan rasa sebak kerana mengenangkan nasib wanita tersebut.

"Semoga dipermudahkan urusan akak ni," respons Zakiah Husin.

"Moga sang suami dapat balasan setimpal, semoga urusan puan tersebut dipermudahkan," tulis Adawiah Ramli.

Selain ada yang sanggup menghulurkan bantuan, ada juga yang mencandangkan kepada pihak masjid agar menyediakan sebuah inap desa khas jika berlakunya situasi sedemikian.

"Salah satu sebab mengapa saya setuju masjid buat pelaburan dirikan inap desa (homestay). Bantuan terus dapat dihulurkan kepada yang tersepit dan memerlukan," komen Hayati Malik.

Bagaimanapun, keadaan terkini wanita tersebut masih belum dapat dipastikan lagi setakat ini dan tiada perkembangan terbaharu dinyatakan pemilik akaun asal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram