YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan sarung kaki (stoking) yang tertera kalimah ALLAH di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
Baginda juga mengingatkan titahnya sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu tentang ingatan baginda terhadap semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.
Justeru, Seri Paduka bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.
BACA LAGI: Bukan setakat makan kurma, Tok Abah kongsi cara 'orang lama' dapatkan badan segar semasa berpuasa
“Kalimah ALLAH itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.
“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.
“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguat kuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
BACA LAGI: Pemangku Sultan Johor titah pihak berkuasa ambil tindakan isu stoking kalimah ALLAH
Yang di-Pertuan Agong juga bertitah, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.
“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan tidak boleh dibenarkan untuk berlaku lagi,” titah Seri Paduka Baginda.
Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail juga menitahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap isu kalimah ALLAH.
Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking kalimah ALLAH yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Pada Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ALLAH di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal. — The Star/ ZAKIAH KOYA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram