CADANGAN Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mahu kerajaan mengumumkan kadar gaji minimum baharu setelah genap dua tahun perintah gaji minimum RM1,500 dikuatkuasakan, disambut baik sebahagian besar golongan pekerja swasta.
Seorang pegawai pemasaran, Francisca Lim berkata, kewajaran mengkaji kadar gaji minimum adalah mendesak dan haruslah disegerakan memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat pada ketika ini.
Katanya, gaji pekerja yang rendah khususnya yang bekerja di ibu kota tidak setimpal dengan gaji minimum pada ketika ini.
"Pada masa sama, MTUC juga patut mendesak kerajaan mengkaji untuk menyelaraskan gaji pekerja swasta di Sabah dan Sarawak sama seperti di Semenanjung Malaysia.
"Jika dilihat pada situasi sekarang, gaji yang diberikan oleh majikan tidak setimpal," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI : 'Lebih sihat dengan PERKESO!', Kempen Tolak Gula tingkat kesedaran ramai tentang CKD
Francisca Lim
Tambah ibu kepada dua anak itu lagi, seorang pekerja swasta seharusnya menerima pendapatan minimum sebanyak RM2,000 sebulan.
"Selain itu, ia juga akan menyenangkan rakyat membuat pembiayaan bank seperti pinjaman kereta bagi memenuhi keperluan rakyat untuk menyenangkan perjalanan ke tempat kerja.
"Misalnya di Sabah dan Sarawak, kenderaan awam masih tidak relevan disebabkan jarak perjalanan agak jauh dan ada sesetengah tempat yang tidak menyediakan kemudahan awam tersebut," ujarnya.
Sementara itu, pembantu pengurus, Roziana Ganis berkata, kerajaan seharusnya sentiasa peka akan keperluan meningkatkan gaji pekerja melalui mekanisme yang telah wujud sekarang supaya pekerja lebih berdaya saing serta inovatif.
"Gaji minimum wajib dinaikkan setiap dua tahun kerana kadar inflasi semakin meningkat setiap tahun.
BACA LAGI : PERKESO Prihatin jadi platform dekati pencarum
Roziana Ganis
"Contohnya, nilai gaji RM1,500 pada tahun 2022 sudah tidak sama dengan nilai pada tahun 2024. Nilainya semakin kecil dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi hari ini.
"Rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat di samping pengurangan subsidi. Secara tidak langsung, kuasa membeli semakin kurang.
"Apabila kuasa membeli kurang, ia akan memberi impak kepada penjual serta ekonomi. Hasil jualan berkurang walaupun pelbagai inisiatif dan promosi dilakukan.
"Selain itu, nilai gaji ini juga sebenarnya memberi kesan kepada kehidupan sosial masyarakat.
"Sebagai contoh, ada segelintir golongan bujang yang hanya mendapat gaji RM1,500 sebulan tidak mahu berkahwin kerana khuatir tidak mampu menampung keluarga.
"Kesannya, kadar kelahiran semakin menurun. Generasi atau tenaga kerja baharu pada masa hadapan mulai berkurang, seperti mana yang berlaku di negara China dan Jepun," jelasnya.
Nur Khairunnisa Abdul Khalil
Dalam perkembangan lain, seorang pemilik kedai makanan, Nur Khairunnisa Abdul Khalil turut bersetuju sekiranya pekerja swasta mendapat kenaikan gaji minimum setiap dua tahun, namun menyifatkan ia perlu dibuat secara berperingkat dan mengikut sektor.
"Kenaikan gaji ini perlu dibuat tetapi janganlah secara mendadak. Rasanya tiada masalah bagi syarikat besar untuk naikkan gaji pekerja, lihat juga pada keuntungan mereka.
"Sebagai seorang majikan, saya faham apa yang dialami oleh pekerja saya sendiri. Semua barang naik dan sara kos hidup juga tinggi," katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, perintah gaji minimum RM1,500 yang dikuatkuasakan pada 1 Mei 2022 akan genap dua tahun.
Menurutnya, kelewatan mengumumkan kadar gaji minimum yang baharu adalah satu pengabaian kepada pekerja Malaysia.
"Berdasarkan kepada Akta 732, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) menetapkan bahawa sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun mengkaji semula perintah gaji minimum. Ia bertujuan bagi menentukan kadar baharu selaras dengan peningkatan kos sara hidup terkini.
"Laporan yang telah dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2018 mendapati gaji untuk kehidupan wajar bagi individu bujang adalah RM2,700, pasangan tanpa anak RM4,500 manakala pasangan dua anak RM6,500," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Kamarul Baharin, kewajaran mengkaji kadar gaji minimum adalah mendesak kerana kesan kenaikan cukai, air, elektrik dan kos barangan keperluan yang menghambat golongan pekerja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram