RAKYAT Malaysia memang suka makanan manis. Tidak hairanlah Malaysia menjadi antara negara di dunia yang menggunakan gula paling banyak dalam makanan dan minuman.
Ditambah dengan kewujudan variasi hidangan manisan tular antaranya tanghulu, iaitu buah-buahan seperti strawberi atau limau yang disalut dengan air yang tinggi kandungan gulanya.
Selain itu, menu popular lain seperti cromboloni, kek tapak kuda dan jelly ball semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia sehingga ada yang sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkannya.
Seiring peningkatan kandungan gula dalam juadah harian, kadar rakyat Malaysia yang menghidap penyakit diabetes juga semakin menunjukkan peningkatan.
Buktinya, kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati kes kencing manis di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara.
Sebanyak 50 peratus penduduk Malaysia menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.
Diabetes juga menjadi faktor risiko utama Penyakit Ginjal Kronik (CKD) dan boleh membawa kepada Penyakit Ginjal Tahap Akhir (ESRD) yang tiada peluang sembuh.
Justeru, tindakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan Kempen Tolak Gula pada Mac akan datang bertepatan dengan usaha membasmi punca masalah CKD di Malaysia.
Cromboloni merupakan antara makanan popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sebelas tahun lalu, PERKESO melaksanakan Program Saringan Kesihatan (HSP) sebagai intervensi awal untuk menjaga kesihatan dan produktiviti golongan pekerja di Malaysia.
Hasil fasa pertama HSP bagi tempoh 2013 hingga 2021 menyaksikan 10 peratus daripada pekerja melebihi 40 tahun menghidapi penyakit kencing manis.
Angka ini melonjak kepada 14 peratus pada 2022 dan mencapai paras 20 peratus, akhir tahun lalu.
Nampaknya inisiatif tersebut juga mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat.
Apatah lagi, agensi tersebut turut mengambil pendekatan mendekati orang ramai menerusi saluran PERKESO Prihatin e-newsletter setiap bulan dengan menyajikan kupasan isu-isu menarik berkaitan kesejahteraan tenaga kerja negara.
Berdasarkan reaksi warga maya, ternyata ramai memuji maklumat yang dikongsikan dalam e-newsletter PERKESO yang dilihat berupaya menambah ilmu pengetahuan tentang CKD.
Kajian NHMS 2019 mendapati kes kencing manis di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara.
Bukan sahaja memfokuskan tentang Kempen Tolak Gula, malah pelbagai informasi berhubung topik amalan gaya hidup, kesihatan, pemeriksaan dan kebajikan pencarum turut dikongsikan.
"Saya harap kempen yang dianjurkan PERKESO ini sedikit sebanyak dapat membuka mata rakyat Malaysia agar lebih berpada-pada dalam pengambilan gula terutamanya amalan pemakanan harian kita," tulis AD Aman.
"Ringkas tetapi padat dan bermakna! e-newsletter ini sangat berinformasi," tulis Nisha Misdoon.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook dengan nama akaun Salimi Ibrahim mengakui, perkongsian yang dimuat naik oleh PERKESO membangkitkan semangatnya untuk terus menjalani gaya hidup lebih sihat.
Malah ujarnya, dia turut kagum dengan bentuk penyampaian maklumat yang bersifat kreatif dan mudah difahami pembaca.
"Saya agak terharu apabila membaca perkongsian pencarum yang berdepan kemalangan dan dibantu oleh PERKESO.
"Bukan itu sahaja, saya juga tertarik dengan segmen auta atau fakta yang dimuat naik dan terinspirasi untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian saya," katanya.
Orang ramai boleh memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/e-newsletter.html. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram