PERKESO Prihatin jadi platform dekati pencarum


  • Bizz
  • Khamis, 25 Jan 2024

CEO PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan e-newsletter bulanan ‘PERKESO Prihatin’ pada 25 Januari 2024 sebagai usaha menyediakan maklumat berguna lagi tepat berkenaan keselamatan sosial kepada pengguna khususnya kepada pencarum mereka.

Dalam kenyataan media pada Khamis, risalah digital bulanan yang diterbitkan oleh Majoriti 7 akan menemui pembaca dengan pelbagai kupasan isu-isu menarik yang berkaitan kesejahteraan tenaga kerja negara.

Lebih menarik apabila PERKESO Prihatin tersebut akan menjadi platform untuk memberi penerangan lanjut mengenai kepelbagaian perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan berkenaan.

Antara topik-topik utama yang bakal dibincangkan secara mendalam menerusi risalah digital tersebut ialah manfaat mencarum, tawaran perlindungan, pelaburan sehinggalah kepada kemudahan yang ditawarkan PERKESO seperti pusat rehabilitasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, potensi sistem hebahan melalui wadah dalam talian, penerbitan e-newsletter bersama Majoriti 7 dipercayai berupaya mengoptimumkan capaian maklumat secara lebih meluas, termasuk golongan sasar seperti suri rumah dan yang bekerja sendiri.

PERKESO 5

Risalah digital PERKESO juga boleh menjadi alternatif mencari info mengenai kepelbagaian perkhidmatan agensi kerajaan itu.

“Media adalah ibarat ketumbukan yang dinobat sebagai kuasa keempat, apatah lagi dalam dunia serba pantas dan moden masa kini. Bertitik tolak daripada asas sedemikian, PERKESO menggandakan aspek hebahan mengenai kepentingan jaringan perlindungan sosial dalam kehidupan seharian, dengan menjalin kerjasama strategik bersama media arus perdana di Malaysia.

“Pendekatan strategik menerusi pembabitan media ini hanya fasa permulaan yang bakal disusuli dengan pelbagai rencana di lapangan seperti program libat urus, kempen kesedaran, aktiviti pendidikan dan pelaksanaan rangkaian inisiatif belanjawan negara dengan masyarakat,” katanya.

Terdapat enam segmen di dalam PERKESO Prihatin, yang pertama iaitu Kolum Fokus membincangkan topik hangat muka depan, Ambil Tahu pula untuk mendidik pembaca mengenai isu-isu baharu dan Perintis adalah artikel berkaitan dengan inovasi.

Selain itu, kisah penerima faedah dipaparkan dalam segmen Turun Padang, Fakta Atau Auta menjawab persoalan terhadap maklumat yang meragukan sementara Zoom adalah rangkuman kepada acara atau program dianjurkan PERKESO.

Bagi isu sulung e-newsletter ini, PERKESO Prihatin mengetengahkan topik berkaitan kesihatan dan usaha menggalakkan kempen tolak gula.

WhatsApp Image 2024-01-20 at 22.42.52

Dr. Mohammed Azman bersama edisi sulung PERKESO Prihatin.

Topik tersebut diangkat susulan peningkatan statistik Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) yang kian membimbangkan namun masih ramai masih kurang ambil peduli mengenai pentingnya saringan awal kesihatan yang menjadi salah satu daripada program berterusan di PERKESO.

Program Saringan Kesihatan PERKESO (HSP) yang disediakan secara percuma kepada pencarum PERKESO berusia lebih 40 tahun, sejak 2013 adalah antara topik utama yang dibincangkan dalam isu ini.

Untuk makluman, HSP adalah inisiatif PERKESO dalam memastikan kesihatan pekerja terus terpelihara dan sejahtera.

Setiap bulan, PERKESO Prihatin akan menyediakan paparan pelbagai program yang dikendalikan, termasuk testimoni-testimoni daripada para pencarum yang menerima manfaat daripada faedah PERKESO.

Turut tertera di dalam halaman e-newsletter ini adalah kod QR yang akan membawa pembaca kepada pautan laman sesawang PERKESO.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram