BAZAR Ramadan yang diadakan saban tahun sentiasa menjadi tumpuan rakyat Malaysia bagi mendapatkan juadah berbuka puasa dan kemeriahannya kembali dirasai di seluruh negara.
Walaupun dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, rata-rata pengunjung tanpa mengira agama dan bangsa mengambil peluang untuk membeli aneka juadah di bazar Ramadan.
Tinjauan Majoriti di bazar Ramadan Kelana Jaya, Selangor mendapati berlaku peningkatan harga makanan melibatkan beberapa menu makanan yang popular.
Namun, kenaikan harga juadah yang mengalami penambahan kira-kira RM1 hingga RM2, tetap berjaya 'memikat' orang ramai untuk membeli juadah kegemaran masing-masing.
Amyra Ali tidak kisah berbelanja besar membeli juadah yang dijual di bazar Ramadan Kelana Jaya.
Seorang pekerja swasta, Amyra Ali, 24, berkata, dia menyedari harga juadah di bazar pada tahun ini naik namun tidak kisah berbelanja besar membeli makanan yang disukai.
"Memang ada peningkatan tetapi masih lagi berpatutan. Kenaikan harga ini sebenarnya saya sudah jangka kerana semua harga barang basah meningkat. Anggap sahaja sedekah pada bulan puasa yang mulia ini," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, dia membelanjakan kira-kira RM80 bagi membeli pelbagai makanan dan minuman buat keluarganya.
"Sekali pergi (bazar) memang RM80 dan kebanyakan juadah yang dibeli untuk keluarga makan bersama-sama," katanya.
Muhammad Sharezza bersama isterinya di bazar Ramadan Kelana Jaya.
Bagi Muhammad Sharezza, 34, dia berpendapat harga juadah di bazar masih lagi boleh diterima.
Sama seperti Amyra, dia juga membelanjakan kira-kira RM80 untuk membeli pelbagai makanan dan minuman.
"Untuk belanja di bazar Ramadan, saya memperuntukkan lebih RM80 ke atas kerana keluarga yang besar.
"Nak kata mahal itu sebenarnya terpulang kepada kualiti makanan yang dibeli. Kalau murah tapi tak sedap pun tak berbaloi juga. Bagi saya rasa makanan itu sendiri lebih penting.
"Pada saya setakat ini, harga juadah yang dijual masih lagi berpatutan walaupun ada sedikit peningkatan tetapi saya juga sedar bukan peniaga bukan saja-saja nak naikkan harga barang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram