JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi jaminan bahawa tiada sebarang unsur penyalahgunaan sistem mahupun kecurian identiti maklumat pemegang lesen memandu sebaliknya segala maklumat adalah terpelihara dan selamat.
Ia adalah susulan daripada isu tular paparan gambar pemilik Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) yang berlainan dengan maklumat pemilik sebenar.
Pada masa sama, JPJ dalam satu kenyataan turut mengesahkan tiada unsur penyalahgunaan sistem atau kecurian identiti dalam isu paparan gambar pemilik yang berlainan dengan maklumat pemilik sebenar.
Katanya, perkara tersebut berlaku ketika pasukan teknologi maklumat melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem yang dibuat secara berkala bagi memastikan kelestarian sistem MyJPJ.
"Pihak JPJ mengambil maklum dan memohon maaf berhubung isu paparan gambar pemilik e-LMM yang berlainan dengan maklumat pemilik sebenar. Jabatan ini ingin memaklumkan bahawa perkara ini telah diambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan serta-merta,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
BACA LAGI : Lesen memandu MyJPJ sama tapi muka orang lain, apa cerita ni YB Anthony Loke, JPJ?
Tangkap layar lesen memandu milik pengguna yang tertera muka orang lain.
BACA LAGI : Slip lesen memandu jadi perbalahan netizen, ramai kata langkah mundur tapi ada yang 'back up'
Tambahnya lagi, JPJ akan sentiasa menambah baik sistem dari semasa ke semasa bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan digital yang terbaik kepada rakyat.
Terdahulu, Majoriti melaporkan warga maya meluahkan rasa risau selepas mendakwa identitinya telah disalahguna dalam aplikasi MyJPJ.
Tambahnya lagi, dia hanya mengetahui perkara tersebut selepas memuat naik aplikasi berkenaan untuk menyemak lesen L (lesen memandu percubaan) miliknya.
Dia turut memuat naik satu tangkap layar gambar menunjukkan Lesen L miliknya yang tertera muka orang lain.
Dalam gambar lesen digital tersebut jelas menunjukkan wajah wanita berkenaan berbeza.
Pada masa sama, beberapa warga maya mendakwa turut mengalami situasi sama apabila gambar yang tertera dalam lesen digital mereka bukanlah gambar mereka sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram