[VIDEO] Dua anggota trafik disiasat kes pemerasan warga Singapura 'Irene Teo'


  • 112
  • Khamis, 14 Mac 2024

Irene Teo mendakwa diarahkan untuk membayar wang sejumlah RM499.40 kepada kedua-dua anggota polis trafik di BSI bagi mengelakkan tindakan saman diambil.

SIASATAN sedang dijalankan ke atas dua anggota trafik yang disyaki melakukan pemerasan terhadap warga Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, Johor pada Ahad lalu.

Ketua Polis negeri, Komisioner M Kumar, berkata pihaknya mengesan video tular di media sosial Facebook (FB) yang dimuat naik penama 'Irene Teo' dalam halaman 'Sage' pada Rabu.

"Pihak polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap dua anggota polis trafik yang dipercayai melakukan pemerasan berikutan tular dua hantaran video di Facebook tersebut.

"Hantaran video itu turut diulas melalui artikel yang dimuat naik oleh laman sesawang Mothership bertarikh 11 Mac lalu," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

BACA LAGI : [VIDEO] ‘Malu dapat, sakit pun dapat’, peragut macam badut tertinggal motor selepas patah balik di Lukut

BACA LAGI : [VIDEO] Juruwang mengandung terkilan ditumbuk pelanggan tak sabar sampai mata kiri bengkak di Johor Bahru

Beliau berkata, melalui hantaran yang tular itu dipercayai penama 'Irene Teo' diarahkan untuk membayar wang sejumlah SG$142 (RM499.40) kepada kedua-dua anggota polis trafik di BSI bagi mengelakkan tindakan saman diambil.

"Mangsa dikatakan melakukan kesalahan masuk ke laluan lori di kawasan check point 8A arah Johor Bahru ke Singapura pada 10 Mac lalu, kira-kira pukul 8.15 malam," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

"Bagaimanapun, setakat ini kita masih belum menerima sebarang laporan dibuat oleh mangsa berhubung insiden itu dan permohonan rasmi dibuat ke Pejabat Konsulat Singapura di Johor Bahru untuk bantuan mengesan pemilik Facebook 'Sage' dan penama 'Irene Teo' bagi membantu siasatan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Suhana Abdullah Sadali di talian 019-8853599 atau Inspektor Nizam Ramon di talian 011-16086119. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram