Ramai yang sanggup berikrar, tapi hanya 0.02 peratus berakhir dengan pemindahan organ


  • Massa
  • Isnin, 11 Mac 2024

Dr Noor Hisham berkata, situasi tersebut berlaku disebabkan wujud kekangan atau halangan daripada beberapa pihak sebelum melakukan pembedahan.

MALAYSIA mencatat hampir 382,020 pengikrar penderma berdaftar sejak 1997, namun cuma 0.02 peratus sahaja yang berakhir dengan pendermaan organ.

Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi tersebut berlaku disebabkan wujud kekangan atau halangan daripada beberapa pihak sebelum melakukan pembedahan.

"Walaupun kita ikrar, tetapi hari menderma organ tu dah sampai, ada keluarga tidak setuju dan sebagainya.

"Kalau dilihat dari segi pendermaan organ, negara paling berjaya yang boleh dicontohi ialah Turkiye, sebuah negara Islam.

"Dalam tempoh 2008 hingga 2020, mereka berjaya melaksanakan pemindahan jantung sebanyak 765 di 15 pusat jantung, sedangkan kita 29 sahaja.

"Selain itu, 13,135 pendermaan hati, pendermaan paru-paru (276) dan buah pinggang (33,000)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai perkongsian kejayaan pemindahan jantung di IJN di ibu negara pada Isnin.

Tambah beliau lagi, Turkiye juga mempunyai pengurusan yang sistematik.

“Di sana, pengurusan sangat baik. Malah, ramai pakar dari negara kita dihantar ke sana untuk belajar dan mencari pengalaman dalam bidang ini," katanya.

Beliau juga faham masih ada stigma dalam kalangan rakyat berkenaan dengan isu pendermaan organ.

"Ia bukan hanya pada pemindahan jantung, tetapi juga organ-organ lain. Rugi kalau kita ada kepakaran, namun tidak ada organ kita diterima," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram