TULAR di laman media sosial memaparkan seorang anggota polis dipercayai secara tidak sengaja melanggar bahagian kereta orang awam baru-baru ini.
Insiden tersebut turut berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) pemilik kenderaan berkenaan.
Namun begitu tidak dinyatakan lokasi dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.
Melalui video yang dikongsikan, anggota tersebut yang menunggang jentera dual-sport Kawasaki KLX250 milik Polis Diraja Malaysia itu dalam perjalanan menuju ke satu destinasi.
Keadaan jalan raya pada waktu itu juga kelihatan sesak.
Pada waktu kejadian, kenderaan itu telah beralih ke tepi selepas pemandu berkenaan mendengar siren kecemasan sebuah kereta peronda polis.
Anggota polis berkenaan tidak sempat memberhentikan motosikalnya dan terus merempuh kereta tersebut.
BACA LAGI : Tetap syarat jangan bagi tertuduh kes mahkamah masuk 'live', podcast — Peguam
Salam, nak tanya, kalau KES macam ni, kena buat apa untuk tuntutan ?? pic.twitter.com/BRik5ZkHKI
— CEO OF EXPOSE (@druglordfxdl) March 11, 2024
BACA LAGI : Model sambilan cemburu tikam teman lelaki di Bandar Rimbayu
Impak daripada rempuhan tersebut menyebabkan bahagian belakang kereta berkenaan calar dan mengalami kerosakan.
Pada masa sama, turut kedengaran anggota berkenaan meminta maaf dan meminta pemandu tersebut ke tepi jalan untuk berbincang.
Video tersebut menjadi bualan dalam kalangan warga maya dan menimbulkan persoalan sekiranya berlaku seperti insiden tersebut bagaimana pemandu malang itu membuat tuntutan.
Tampil menjelaskan isu berkenaan, seorang lagi peguam, Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar sekiranya berlaku kemalangan melibatkan insiden seperti itu, pemandu tidak seharusnya berasa panik.
"Saya tahu nampaknya ramai yang tidak pasti tentang apa yang perlu dilakukan dalam situasi sedemikian.
"Sekiranya berlaku kemalangan seperti itu, pemandu harus membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam dengan menyertakan bahan bukti sekali.
"Ini kerana, bagi kenderaan yang dimiliki oleh pasukan polis, ia tidak dilindungi oleh insurans.
"Tapi jangan risau, kerana anda boleh membuat tuntutan kepada kerajaan untuk mendapatkan pampasan," katanya kepada Majoriti.
Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar
Jelas peguam lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu lagi, motosikal polis termasuk dalam kategori 'Kenderaan Kerajaan' iaitu merujuk kepada mana-mana kenderaan yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia untuk kegunaan rasmi.
"Ini termasuk (kenderaan) menteri rasmi atau kereta diraja, kenderaan peronda polis lain seperti kereta dan balai polis bergerak, trak bomba, dan ambulans (tidak termasuk yang persendirian).
"Ini dinyatakan di bawah Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan 1956 yang mana tertakluk kepada Akta Kerajaan akan bertanggungjawab ke atas sebarang perbuatan salah yang dilakukan atau sebarang pengabaian atau keingkaran dilakukan oleh mana-mana pegawai awam dengan cara yang sama.
"Ia bermakna mengikut undang-undang, jika anggota atau pegawai kerajaan melakukan sesuatu yang salah, mengabaikan kewajipan mereka, atau gagal melakukan sesuatu yang sepatutnya mereka lakukan, kerajaan sendiri bertanggungjawab ke atas tindakan mereka," katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan mendapat Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 sebagai kelebihan, yang menyatakan bahawa mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan kenderaan kerajaan hanya mempunyai tempoh tiga tahun untuk membawa kerajaan ke mahkamah.
"Oleh itu, anda perlu membuat tindakan segera sebelum tempoh tiga tahun luput atau hakim kemungkinan besar tidak akan melayan tuntutan tersebut.
"Seksyen 2(a) Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 menetapkan bahawa sebarang tindakan undang-undang, termasuk saman, pendakwaan, atau prosiding, tidak boleh dimulakan melainkan ia bermula dalam tempoh 36 bulan selepas perbuatan salah, pengabaian, atau keingkaran yang didakwa, atau dalam tempoh tiga puluh enam bulan selepas pemberhentian berterusan kecederaan atau kerosakan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram