'Kepercayaan' ibu bapa antara punca anak guna helmet kualiti rendah — Pakar


  • Massa
  • Jumaat, 08 Mac 2024

Meningkatkan tahap penguatkuasaan mengenai penggunaan topi keledar yang sesuai untuk kanak-kanak adalah penting bagi keselamatan mereka di jalan raya. — Gambar Hiasan

PEMAKAIAN topi keledar atau helmet yang selamat dalam kalangan kanak-kanak kerap diambil remeh oleh kebanyakan penunggang motosikal.

Malah, sebagai ibu bapa mereka acap kali dimomokkan dalam pemikiran bahawa memakai topi keledar bertujuan mengelakkan daripada di saman pihak berkuasa.

Ada juga yang berpendapat lambakan helmet dijual di pasaran dan secara dalam talian boleh digunakan tanpa memikirkan faktor keselamatan anak mereka.

Mengulas lanjut isu tersebut, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua, kesedaran penggunaan topi keledar dalam kanak-kanak masih lagi rendah.

Malah, ada ibu bapa yang bersikap sambil lewa dengan memakaikan anak masing-masing dengan topi keledar mainan yang tidak mengikut standard atau spesifikasi yang ditetapkan.

BACA LAGI : [VIDEO] Siap cabut brek, 'Superman' RXZ Fighter bagi isyarat berhenti lepas tergolek sebelum kamera Awas rupanya berlumba

435880

Prof Madya Dr Law Teik Hua.

Katanya, setiap tahun hampir 500 remaja bawah 15 tahun kehilangan nyawa akibat daripada kemalangan jalan raya.

"Perlindungan yang disediakan untuk kanak-kanak di jalan raya masih tidak mencukupi, terutamanya bagi mereka yang menaiki motosikal.

"Oleh itu, adalah penting bagi memastikan kualiti topi keledar motosikal yang direka untuk kanak-kanak berkualiti tinggi bagi mengurangkan risiko kecederaan sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan," katanya kepada Majoriti.

Jelas beliau lagi, walaupun SIRIM menetapkan standard bagi topi keledar kanak-kanak, namun masih terdapat helmet tidak menepati spesifikasi dijual di pasaran sehingga mengelirukan ibu bapa.

"Ia sekali gus menyebabkan ada segelintir orang dewasa ini percaya topi keledar mainan yang dijual di kedai atau dalam talian itu mampu melindungi anak mereka walaupun ia jauh menyimpang daripada realiti sebenar.

"Pada masa sama, kekeliruan itu akhirnya mengehadkan ketersediaan dan penggunaan peralatan keselamatan yang mencukupi untuk kanak-kanak," ujarnya.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Apa sudah jadi dengan YB kita, sepatutnya perjuangkan hak rakyat bukan warga asing'

HELMET 2

Adalah penting bagi memastikan kualiti topi keledar motosikal yang direka untuk kanak-kanak berkualiti tinggi bagi mengurangkan risiko kecederaan. — Gambar Hiasan

Tegasnya lagi, masalah itu kian meruncing kerana langkah penguatkuasaan yang tidak mencukupi.

"Tanpa penguatkuasaan ketat dari segi piawaian dan peraturan keselamatan mengenai topi keledar kanak-kanak, ketersediaan pilihan yang tidak menepati spesifikasi terus menimbulkan risiko besar kepada keselamatan kanak-kanak di jalan raya," katanya.

Katanya, bagi menangani isu tersebut memerlukan pendekatan yang pelbagai.

"Pertama, meningkatkan tahap penguatkuasaan mengenai penggunaan topi keledar yang sesuai untuk kanak-kanak adalah penting. Ini termasuk pemeriksaan dan penalti yang ketat bagi mereka yang didapati menggunakan topi keledar standard atau mainan.

"Kedua, kempen pendidikan awam yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan ibu bapa dan penjaga tentang kepentingan menggunakan topi keledar berkualiti tinggi untuk kanak-kanak adalah perlu.

"Dengan menggabungkan peningkatan penguatkuasaan dengan usaha pendidikan awam yang komprehensif, isu perlindungan yang tidak mencukupi untuk kanak-kanak di jalan raya dapat ditangani dengan berkesan sekali gus mengurangkan jumlah kematian dan kecederaan kanak-kanak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram