[VIDEO] Risau duit lesap, Tabung Haji dah kena buat insurans lindungi simpanan pendeposit


Pendeposit berpendapat tahap keselamatan perkhidmatan digital TH, THiJARI masih lagi perlu diperkukuhkan memandangkan Malaysia selalu menjadi ancaman siber.

KURANG sebulan, media melaporkan dua kes wang simpanan dalam akaun Tabung Haji lesap sekelip mata angkara perbuatan jahat scammer tidak bertanggungjawab.

Kejadian pertama berlaku melibatkan pendeposit bertugas sebagai seorang bilal Masjid Al-Falah, Ulu Yam Bharu dekat Batang Kali, Selangor menjadi mangsa penipuan apabila sejumlah RM12,000 dipindahkan melalui lima transaksi dalam tempoh empat hari.

Menurut mangsa, wang dalam akaun Tabung Haji miliknya dipindah tanpa kebenaran pada Februari lalu.

Laporan dibuat mangsa pada 26 Februari lalu melibatkan kes wang simpanan Tabung Haji yang didakwa berkurangan.

Hasil siasatan polis mendapati, mangsa menerima satu pesanan ringkas dari TH menyatakan terdapat pemindahan wang membabitkan akaun miliknya ke akaun bank individu lain, iaitu sebanyak RM3,000 pada 20 Februari dan dua kali transaksi berjumlah RM1,000 dan RM2,000 pada 21 Februari.

Terbaharu, bekas pegawai kanan kerajaan mendakwa kerugian lebih RM30,000 selepas wang di dalam akaun Tabung Haji miliknya disyaki dipindah ke akaun milik orang lain serta dikeluarkan dengan menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) sejak tahun 2018.

Bagaimanapun, kehilangan wang itu hanya disedari Datuk Jabidah Monseri, 66, pada 30 November tahun lalu.

Jabidah dilaporkan berkata hanya menyedari kehilangan wang simpanannya itu selepas mengemas kini buku akaun Tabung Haji.

BACA LAGI: Terigau-igau urus jenazah bayi tanpa kepala, dibuang dalam tangki kumbahan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Femes' bawa kontena di TikTok, wanita kecil molek parah lori terbalik ketika potong 'tang kona' di Pelabuhan Klang

Menurutnya, semakan lanjut pada penyata terperinci akaunnya mendapati wang simpanannya itu dikeluarkan menerusi 30 transaksi bermula 26 Februari 2018.

Tujuh transaksi dibuat menerusi pemindahan dari Tabung Haji ke beberapa akaun bank manakala 23 lagi menerusi pengeluaran menggunakan mesin ATM.

Pemindahan pertama ke akaun bank pada 26 Februari 2018 berjumlah RM10,000 dan pada tarikh sama, satu pengeluaran sebanyak RM1,000 dibuat menggunakan kad ATM.

Selepas itu, enam lagi pemindahan dari Tabung Haji ke akaun bank dibuat pada 11 Mac 2018, 7 Mei 2018 , 21 Mei 2018 , 30 Mei 2018 , 27 Jun 2018 dan 1 Januari 2019.

Pengeluaran menggunakan mesin ATM pula bermula 26 Februari 2018 dan berlarutan sebanyak 23 transaksi sehingga 21 Januari 2020 dengan setiap pengeluaran antara RM1,000 hingga RM1,500.

Berikutan itu, Jabidah membuat laporan di Balai Polis Gita dekat Kuching, Sarawak pada 1 Disember tahun lalu bagi menuntut pihak Tabung Haji mengambil tindakan terhadap kes kehilangan wang itu.

Bagaimanapun, beliau kesal apabila sehingga kini, tiada sebarang makluman diterimanya daripada pihak Tabung Haji meskipun sudah tiga bulan laporan dibuat.

Susulan daripada kejadian itu, ada dalam kalangan pendeposit Tabung Haji yang lain meluahkan rasa risau dan mendesak pihak Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil tindakan segera.

Hal ini kerana, semua wang yang disimpan dengan tujuan untuk menunaikan ibadah haji di Mekah, dipindah tanpa kebenaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Seorang pengguna X (Twitter), @Husna_Baharudin berpendapat tahap keselamatan perkhidmatan digital TH, THiJARI masih lagi perlu diperkukuhkan memandangkan Malaysia selalu menjadi ancaman siber.

"Kalau dalam kes ini, aku rasa pihak TH ini dah perlu ketatkan keselamatan digital mereka dan sila semak juga sistem data.

"Kita ini banyak kali jadi mangsa ancaman siber dari luar negara. Ini isu serius, melibatkan wang pendeposit berjuta-juta. Amanah mereka menjaga duit tersebut," tulisnya.

Manakala, seorang lagi warga maya, @wesongg mencadangkan pihak TH menginsuranskan semua wang pendeposit TH bagi menjamin simpanan dari para pendeposit.

"Kami tidak pernah membuka sebarang pautan atau mesej, malah ada warga emas cuma ada line sahaja, data pun tak ada.

"Mohon pihak TH menginsuranskan semua wang pendeposit TH bagi menjamin simpanan dari para pendeposit," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram