SEORANG pempengaruh media sosial TikTok, Waniey Zulkifli dipercayai cedera selepas lori kontena yang dipandunya terlibat dalam satu kemalangan di sebuah lebuh raya menuju ke Pelabuhan Klang, Selangor pada Selasa.
Kejadian itu juga turut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan di aplikasi Telegram, mangsa yang juga terkenal dalam kalangan pemandu kenderaan muatan berat di Malaysia didakwa memandu lori tersebut dengan laju sehingga hilang kawalan di sebuah selekoh.
BACA LAGI: [VIDEO] Lima pelanggan restoran muntah darah lepas jamah ais kering 'beracun'
Lebih mencemaskan lagi, lori itu juga hampir menghempap kenderaan lain sebelum jatuh terbalik serta terseret beberapa meter.
Menurut seorang pengguna Telegram, sejurus selepas kemalangan itu berlaku, mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sementara menunggu bantuan tiba.
Dia juga turut memuat naik satu gambar, memaparkan Waniey terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kepala.
Kemalangan itu juga didakwa menyebabkan kesesakan lalu lintas di laluan tersebut.
Namun, setakat berita ini ditulis tidak dapat dipastikan keadaan mangsa yang sebenar dan belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Hasil pemerhatian Majoriti, mangsa mempunyai lebih daripada 100,000 pengikut di laman TikTok miliknya dan sering memuat naik kandungan video merakam dirinya memandu lori kontena yang sama berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan berat berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram