DUA mangsa lelaki dan wanita cedera di kepala selepas tercampak keluar ketika menaiki permainan dikenali sebagai ‘sotong ride’ di fun fair (pesta ria) Jalan Stadium Likas dekat Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.58 malam mengenai kejadian tersebut.
“Sepasukan bomba dari Balai Kota Kinabalu tiba di lokasi kejadian mendapati seorang mangsa perempuan mengalami kecederaan di kepala selepas tercampak keluar dari permainan di pesta ria tersebut.
“Mangsa telah diberikan rawatan awal oleh anggota pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth menggunakan Jentera EMRS Bomba,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam kejadian sama, seorang lagi mangsa lelaki telah dibawa oleh pihak ambulans ke Hospital Queen Elizabeth II sebelum pihak Bomba sampai di lokasi kejadian.
“Dan hasil daripada maklumat yang Bomba perolehi mangsa lelaki tersebut juga mengalami kecederaan di kepala.
“Operasi ditamatkan pada pukul 9.40 malam Rabu,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Ibu cabut nyawa bayi sendiri pura-pura sedih, tangisi kematian anak di TikTok
BACA LAGI: [VIDEO] Lima pelanggan restoran muntah darah lepas jamah ais kering 'beracun'
Beberapa rakaman video dan gambar insiden tersebut turut tular di laman media sosial.
Melalui video yang dikongsikan, kelihatan seorang wanita mengalami pendarahan yang teruk di kepala manakala seorang lagi mangsa terbaring dalam keadaan berdarah.
Susulan peristiwa itu ada segelintir dalam kalangan warga maya meminta pihak berkuasa tempatan memantau setiap pesta ria yang diadakan agar tragedi sama tidak berulang.
"Pesta ria semua ini siapa yang pantau? Siapa keluarkan lesen? Apa jaminan mereka selenggara semua mesin? Pekerja mereka ada tak diberikan latihan? Saya harap mangsa yang terlibat cepat sembuh dan saman mereka yang bertanggungjawab," tulis Kulee Bataq.
Sementara itu, Ajan Agustine pula mendakwa, insiden yang melibatkan kemalangan seperti itu bukanlah kali pertama berlaku di Sabah.
"Sudah banyak kali terjadi sebenarnya, cuma kali ini melibatkan kemalangan dan kecederaan serius. Mana tuan punya fun fair mahu lari lagi?
"Pihak kerajaan, tolong buat sesuatu. Entah-entah ‘sotong ride’ itu memang sudah rosak lama," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram