PERNAH menguruskan jenazah bayi yang dibuang dalam tangki kumbahan, itulah antara pengalaman yang paling sedih dialami Pengurus Pusat Pengurusan Jenazah Al Kauthar, Nor Hidayah Abd Radzaz.
Sepanjang 17 tahun menguruskan jenazah yang tidak dituntut, Nor Hidayah, 35, mendedahkan bahawa itu adalah momen memandikan jenazah yang tidak dapat dilupakan.
Menatap sekujur tubuh kecil yang tidak sempurna membuatkan hatinya cukup pilu dan kesal apabila mengenangkan nasib malang bayi berkenaan.
"Identiti bayi itu tidak dapat dikenal pasti. Bayi tersebut juga dipotong kepada beberapa bahagian dan kepalanya tidak dijumpai.
"Hati saya sangat kesal dan sebak melihat keadaan bayi tersebut.
"Apa yang menyedihkan adalah bagaimana ada manusia yang sanggup bertindak sekejam itu terhadap seorang bayi yang tidak berdosa dan berdaya.
"Semoga pelaku tersebut mendapat hukuman atas perbuatan jahatnya," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI : Ada komplot promosi 'kartel jenazah' berbanding khidmat percuma, persatuan minta campur tangan polis
Nor Hidayah (kiri) bersama ibunya, Sa’dah Saliehan yang merupakan bekas pemandi jenazah dan telah berkhidmat selama 35 tahun di Pejabat Agama Islam Johor.
Nor Hidayah yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor berkata, sepanjang kira-kira enam tahun beroperasi, pusat Pengurusan Jenazah Al Kauthar berlokasi di Johor Bahru, Johor yang ditubuhkan pada 2019 sudah menguruskan lebih 100 jenazah bayi yang tidak dituntut atau tiada waris.
"Setiap tahun memang akan ada jenazah bayi yang tidak dituntut yang perlu diuruskan oleh pihak kami.
"Untuk makluman, bagi setiap kematian di hospital, jenazah dewasa atau bayi akan dihantar ke jabatan forensik hospital sebagai tempat penyimpanan jenazah sebelum dituntut oleh waris untuk dibawa pulang bagi urusan seterusnya.
"Bagaimanapun terdapat jenazah yang tidak dituntut oleh waris kerana waris gagal dihubungi, jenazah tiada waris atau identiti jenazah itu tidak dapat dikenal pasti sekali gus menjadikan waris juga tidak dapat dikenal pasti.
"Bagi kes begini pengurusan jenazah akan diambil alih oleh pihak kerajaan dan dinamakan ‘government burial’. Sebahagian daripada kos pengurusan akan ditampung oleh Pihak Pejabat Agama Islam dan sebahagian daripada pihak kami sendiri," jelasnya.
BACA LAGI : Amalan 'power' sebelum, selepas solat zuhur untuk peroleh kedudukan tinggi di sisi ALLAH
Setiap jenazah bayi yang tidak dituntut atau tiada waris mempunyai kisahnya yang tersendiri.
Tambahnya lagi, pihaknya hanya menguruskan jenazah bayi muslim dan yang identitinya tidak dapat dikenal pasti.
"Bagi yang mayat bayi bukan Muslim yang tiada waris terdapat badan bukan kerajaan (NGO) lain yang menguruskannya," katanya.
Dia yang pernah bekerja sebagai penyelidik dan pensyarah di sebuah universiti tempatan kini menguruskan pusat pengurusan jenazah itu bersama adik-beradiknya yang berkhidmat sebagai peguam, jurutera, kakitangan jabatan kerajaan dan usahawan.
Anak kelapan daripada sembilan beradik itu berkata, dia dan adik-beradiknya mengambil inisiatif memberi pendedahan berhubung pengetahuan pengurusan jenazah terutama dalam kalangan generasi muda.
Bercerita lanjut, Nor Hidayah berkata, prosedur menguruskan bayi yang tidak dituntut sama seperti pengurusan jenazah dewasa yang tidak dituntut.
"Pihak hospital akan cuba mengesan waris terlebih dahulu. Jika usaha itu gagal maka pihak hospital akan memanggil wakil daripada Pengurusan Jenazah Al Kauthar atau mana-mana pemandi jenazah untuk membantu menguruskan jenazah bayi-bayi ini dengan sempurna.
"Bagi jenazah bayi yang berusia lebih daripada enam bulan dalam kandungan, jenazah bayi ini perlu disempurnakan empat perkara atasnya iaitu jenazah bayi perlu dimandi, dikafan, di solat dan dikebumikan.
"Kami juga akan menguruskan koordinasi untuk jenazah bayi ini dihantar ke tanah perkuburan dan menempah liang lahad di tanah perkuburan bagi urusan pengebumian jenazah bayi yang tidak dituntut itu," katanya.
BACA LAGI : [VIDEO] Air rendaman ayat ruqyah dalam kertas boleh diminum asalkan tidak memudaratkan — Mufti
Pusat Pengurusan Jenazah Al Kauthar juga turut menguruskan anggota badan yang tidak dituntut.
Selain daripada menguruskan jenazah, Pusat Pengurusan Jenazah Al Kauthar juga turut menguruskan anggota badan yang tidak dituntut.
Nor Hidayah berkata, mengikut prosedur, bagi setiap pemotongan anggota badan yang dilakukan di hospital selepas pembedahan, anggota badan tersebut akan dihantar ke jabatan forensik hospital bagi dituntut oleh waris.
"Namun, terdapat waris yang mungkin terlupa atau tidak tahu bahawa anggota badan yang dipotong perlu di ambil oleh waris di Jabatan Forensik untuk dibawa pulang dan diuruskan sendiri oleh waris.
"Ada juga waris yang beranggapan pihak hospital yang akan menguruskan anggota bahan ahli keluarga mereka.
"Bagi tempoh tertentu jika waris masih gagal untuk membawa pulang anggota badan tersebut pihak hospital akan klasifikasi anggota badan ini diuruskan oleh pihak kerajaan dan kami akan dipanggil oleh pihak hospital bagi menguruskan anggota badan yang tidak dituntut tersebut.
"Pihak kami juga akan menguruskan anggota badan untuk ditanam di kawasan perkuburan berdekatan," ulasnya.
Beliau turut mengingatkan kepada mana-mana waris yang ahli keluarga mengalami keguguran dalam kandungan atau ada yang anggota badan terpaksa dipotong supaya hadir ke Jabatan forensik untuk membuat tuntutan jenazah bayi atau anggota badan tersebut untuk diuruskan.
"Walaupun hanya janin kecil atau sebatang jari waris tetap perlu menuntutnya di jabatan forensik.
"Jika tidak mampu menguruskan sendiri pihak waris boleh menghubungi mana-mana pemandi jenazah bagi membantu menguruskannya sebelum jenazah dibawa balik untuk dikebumi atau anggota badan ditanam," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram