SEORANG pengusaha taska di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor tidak pernah menyangka akan berdepan dengan situasi meruntun hati selepas menganjurkan sebuah program di taska miliknya pada Sabtu.
Berkongsi kisah tersebut , Abu Hurairah Roslan meluahkan perasan sedih selepas melihat seorang lelaki bersama dua anaknya meminta lebihan bungkusan makanan selepas tamat program berkenaan.
Menceritakan kembali momen tersebut, pada waktu kejadian pihaknya sedang mengadakan program di taska miliknya pada Sabtu.
"Habis program taska, semua cikgu bungkuskan makanan dan masuk ke dalam dewan berehat. Kepenatan semuanya dari pukul 5.00 pagi.
"Saya pula sedang mengemas barang dan menyusun meja serta kerusi di luar.
"Tiba-tiba ada satu motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama dua pembonceng kanak-kanak. Dia lalu depan saya dan saya nampak dia tengok bungkusan makanan.
"Sampai hujung jalan, dia pusing patah balik dan tengok makanan yang berbungkus yang diletakkan di atas meja itu," tulisnya di laman Facebook miliknya pada Sabtu.
BACA LAGI : KWSP umum dividen 5.50 peratus
Abu Hurairah Roslan
BACA LAGI : [VIDEO] 'Apa sudah jadi dengan YB kita, sepatutnya perjuangkan hak rakyat bukan warga asing'
Tambahnya lagi, selepas melihat tindakan lelaki tersebut berpatah balik dia terus menahannya.
"Abang nak makanan bungkus itu ke? Saya pandang anak-anak belakang abang ni. Sayu, nampak anak memang lapar," soalnya kepada lelaki tersebut.
Jawapan yang diberikan individu berkenaan bagi meminta izin mengambil bungkusan makanan tersebut menyebabkan Abu Hurairah sedih sampai terduduk.
"Boleh ke? Saya tak dapat kerja hari ni. Saya gaji hari. Demam tapi anak-anak isteri kat rumah lapar," jelas individu tersebut yang tidak didedahkan namanya.
Tidak melengahkan masa, Abu Hurairah yang juga pempengaruh media sosial terus memberikan bungkusan makanan yang mengandungi mihun serta kuih-muih kepada lelaki berkenaan.
Dia turut memberikan sedikit wang kepada individu tersebut.
Lebih meruntun jiwa Abu Hurairah, kedengaran suara anak kepada individu tersebut yang ingin segera pulang untuk menjamah makanan yang diberikan bersama ibunya.
"Ayah, balik jom. Makan dengan ibu," kata kanak-kanak tersebut.
Abu Hurairah turut menitipkan sebuah pesanan kepada kerajaan agar lebih prihatin dan peka dengan keadaan rakyat.
"Harapan kepada mereka yang diberikan amanah serta menjaga negara, ketahuilah rakyat semakin lemah dan lapar.
"Kepada kita semua, bantulah jika kita bertemu dengan mereka yang susah. Insya-ALLAH, ALLAH selalu bersama mereka yang sabar dan berusaha," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram