SINDIKET 'kartel jenazah' semakin berleluasa kebelakangan ini dengan perkara itu dikatakan kian meruncing dalam kalangan waris yang kehilangan insan tersayang.
Meskipun soal pengurusan jenazah bukan satu perkara yang boleh dibuat main, namun sesetengah pihak masih berani mengambil kesempatan atas peluang terhidang dengan mengenakan bayaran tertentu kepada mangsa.
Mula berleluasa sejak penularan wabak Covid-19 sekitar 2020, sehingga kini perkara tersebut masih berlarutan dengan perkongsian daripada pihak pengurusan jenazah di Sabah dan Semenanjung, membuktikan betapa isu itu semakin serius.
Persatuan Amal Jariah Sabah yang sudah lama berkecimpung dalam hal pengurusan jenazah di negeri itu, difahamkan turut berhadapan dengan beberapa isu berkaitan 'kartel jenazah' sebelum ini.
Pengerusi persatuan itu, Masrul Guding, 32, berkata, perkara itu memang terjadi di negeri Sabah dan pihaknya sering disalah anggap sebagai kartel akibat sikap sesetengah individu yang suka mengambil kesempatan.
"Kami menjalankan pengurusan jenazah secara percuma di Sabah tetapi masih ramai yang menganggap kami sebagai kartel yang menipu orang.
"Ia kerana tindakan pihak hospital di Kota Kinabalu, Sabah yang hanya mempamerkan senarai persatuan yang sebenarnya 'kartel' berbanding kami.
"Jadi orang ramai tidak tahu yang sebenarnya ada pengurusan yang boleh dibuat secara percuma macam kami, jadi mereka yang terdesak terpaksa dikenakan bayaran sehingga mencecah RM700 termasuk penghantaran.
"Perkara macam ini mendatangkan masalah kepada kami bila orang mula tidak percaya dan salah anggap kami sebagai kartel, saya dah pernah maklumkan pihak hospital untuk masukkan nama kami dalam senarai persatuan tetapi mereka macam sengaja buat lupa dan persatuan berbayar pula diutamakan," katanya kepada Majoriti.
Beberapa individu atau persatuan yang didakwa mengenakan kos tinggi terhadap waris.
Mendakwa ada pihak yang cuba berkomplot dengan persatuan 'kartel' tersebut, Masrul yakin bahawa perkara ini bukan satu kesilapan kerana ramai yang sudah menjadi mangsa sejak dari 2020.
"Selalunya akan ada pihak ketiga yang mengambil kesempatan dan saya harap pihak berwajib sila pantau pengurusan di hospital ataupun senarai persatuan yang dipaparkan.
"Saya tidak mahu hal pengurusan jenazah dibuat main tetapi kalau sudah melampau seharusnya ada campur tangan daripada pihak polis," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram