SEORANG remaja maut secara tiba-tiba sejurus selepas merompak seorang warga emas di sebatang jalan dekat Sao Paulo, Brazil.
Tragedi yang berlaku pada November 2023 sempat direkodkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum ia menjadi tular di media sosial.
Bukan itu sahaja, video berkenaan masih lagi menjadi bualan sehingga kini dan sering kali ditayangkan oleh pihak berkuasa tempatan Brazil untuk dijadikan pengajaran penduduk di sana.
Melalui klip berdurasi 48 saat yang dikongsikan tersebut memaparkan suspek, Gustavo da Silva Godoy, 17, bersama rakan subahatnya menunggang sebuah motosikal sebelum memintas motosikal lain yang ditunggang seorang warga emas.
Sebaik sahaja mangsa berhenti, Godoy dan rakannya menghampiri dan memeriksa badan warga emas tersebut sebelum mereka mengarahkannya untuk turun daripada motosikalnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Bahana langgar lampu isyarat, 2 penunggang motosikal melambung di Kelantan
Bimbang dirinya diapa-apakan oleh suspek, lelaki berusia 66 tahun yang berada dalam ketakutan itu hanya mengikut semua arahan yang diberi.
Rakan subahat Godoy yang mengenakan jaket berwarna kuning bertindak merampas motosikal mangsa lalu melarikannya.
Godoy kemudian menunggang semula motosikalnya dan cuba untuk beredar dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun malang buatnya apabila beberapa saat kemudian, motosikal itu secara tiba-tiba bergerak ke arah kiri jalan sebelum dia terjatuh lalu terbaring di atas jalan.
Menurut laporan media tempatan, anggota paramedik tiba di tempat kejadian, namun Godoy disahkan meninggal dunia di tempat kejadian mungkin kerana mengalami serangan jantung. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram