RUQYAH dikenali sebagai terapi penyembuhan dalam Islam dengan menggunakan bacaan ayat al-Quran atau melalui doa-doa.
Imam Ibnu al-Athir dalam an-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar mendefinisikan ruqyah sebagai:
"Memohon perlindungan (kesembuhan) dibacakan untuk orang yang sakit, seperti demam, kerasukan dan penyakit lain."
Kebiasaannya, kita biasa melihat pakar rawatan Islam akan membacakan doa dan ayat ruqyah di hadapan segelas air ketika proses menyembuhkan pesakit.
Bagaimanapun satu video tular memaparkan teknik yang agak berbeza dalam amalan ruqyah mencetuskan persoalan dalam kalangan warga maya.
Manakan tidak, kertas ruqyah yang dijual oleh akaun TikTok @quranfi_ dalam satu peket kecil memerlukan penggunanya untuk merendam terlebih dahulu kertas tersebut dalam segelas air.
BACA LAGI: Mufti Pulau Pinang mohon maaf bukan kerana salah, tapi kerana adab dalam Islam — Mufti Kelantan
BACA LAGI: Amalan 'power' sebelum, selepas solat zuhur untuk peroleh kedudukan tinggi di sisi ALLAH
Setelah direndam, air di dalam gelas yang telah berubah warna boleh diminum atau digunakan untuk tujuan perubatan.
Video yang dikongsikan mencetuskan 1,001 satu persolan dalam kalangan umat Islam dan ada yang menggangap ia sebagai satu perbuatan merepek dan menyimpang daripada agama Islam yang sebenar.
Tampil menjelaskan isu tersebut, Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, perbuatan merendam ayat yang berisi kertas ruqyah tidak salah dalam agama.
"Ayat ruqyah yang ditulis dalam kertas tersebut sebenarnya boleh asalkan ia mengandungi ayat-ayat al-quran yang betul.
"Kalau ikutkan ia tidak salah di sisi agama Islam cumanya harus dilihat (jenis) dakwat dan kertas yang digunakan agar tidak memudaratkan tubuh badan.
"Pada masa sama, pengguna kena pastikan juga isi kandungan yang tertulis dalam kertas tersebut agar tidak menyimpang daripada tujuan asal," katanya kepada Majoriti.
Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron
Ujarnya lagi, jika melihat dari segi saintifik air merupakan bahan cecair yang boleh segera bertindak balas terhadap sesuatu yang disebutkan di hadapannya.
"Kalau kita lihat dari segi molekul, air memang mudah bertindak balas jika kita katakan segala perkara terhadapnya.
"Jadi, kalau perkara yang kita dedahkan itu baik maka baiklah air itu dan sebaliknya jika apa yang dikatakan tidak elok makan lainlah jadinya,"katanya.
Tambahnya lagi, penggunaan ayat ruqyah dalam tulisan atau menggunakan air dalam perubatan Islam bukanlah perkara baharu.
"Dalam perubatan yang digunakan Perawatan Islam Darussyifa turut menggunakan elemen air untuk berubat.
"Mungkin caranya agak berbeza dengan meminum air yang telah dibacakan ayat ruqyah tetapi konsepnya tetap sama.
"Ada juga yang menulis ayat ruqyah di pinggan atau gelas dan meminta pesakit meminum air berkenaan," jelasnya.
Melalui tinjauan Majoriti, produk tersebut bukanlah dijual oleh syarikat tempatan seperti yang didakwa.
Sebaliknya ia merupakan produk yang dijual oleh syarikat yang berpangkalan di Amsterdam, Belanda.
Antara bahan yang digunakan untuk membuat kertas tersebut termasuklah kanji kentang, air, minyak sayur dan sebagainya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram