Akses pembiayaan beri peluang masyarakat Islam urus kewangan tunai umrah, haji


  • Massa
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Menjadi impian setiap umat Islam menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah bagi menunaikan umrah dan haji. — Agensi

BERPELUANG menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah bagi menunaikan umrah dan haji adalah impian setiap umat Islam.

Bagaimanapun, mengerjakan ibadah tersebut bukanlah satu proses yang mudah dan memerlukan persediaan yang bukan sedikit.

Berkemampuan menyahut seruan ALLAT SWT itu termasuklah mempunyai keupayaan fizikal untuk menunaikan rukun dan ibadat haji dan kenderaan bagi memudahkan pergerakan umat Islam ke Tanah Suci.

Namun begitu, persediaan paling penting sebenarnya antara lain adalah kemampuan dari segi kewangan di samping persediaan mental.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu ALLAH SWT dan pengunjung-Nya. Jika mereka meminta kepada-Nya nescaya dia akan kabulkan, jika mereka meminta ampun nescaya akan diberi keampunan dan jika mereka meminta syafaat nescaya mereka akan diberi syafaat.” (Ibnu Majah).

Justeru itu, jemaah perlu memastikan sumber kewangan yang digunakan untuk menunaikan umrah ataupun haji bersih daripada sumber-sumber yang diragui.

Ia bagi mengelakkan ibadah yang dilakukan itu tidak diterima oleh ALLAH SWT.

WhatsApp Image 2024-02-23 at 22.40.42

Seorang jemaah, Norma Ahmad, 67, bergambar di depan Masjidil Haram ketika menunaikan umrah di tanah suci Mekah pada Disember 2023.

BACA LAGI : [VIDEO] Air rendaman ayat ruqyah dalam kertas boleh diminum asalkan tidak memudaratkan — Mufti

Susulan daripada kos ibadah haji dan umrah yang semakin meningkat, beberapa agensi dan pihak perbankan telah menawarkan pakej pinjaman pembiayaan peribadi kepada umat Islam di Malaysia yang mahu mengerjakan umrah dan haji.

Pinjaman itu itu juga bertujuan bagi merealisasikan impian setiap muslim bagi menjadi tetamu ALLAH SWT di tanah suci.

Walaupun ia telah diperkenalkan sejak beberapa tahun dulu, namun pinjaman kewangan ini masih lagi menjadi perbincangan dalam kalangan rakyat.

Malah, ada yang mempersoalkan melakukan pinjaman kewangan untuk melaksanakan haji adalah perkara yang tidak sepatutnya kerana akan membuatkan para jemaah terpaksa berhutang.

Menjawab persoalan tersebut, agamawan terkenal, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui satu kenyataan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, hukum melaksanakan ibadah haji melalui pembiayaan atau pinjaman institusi kewangan diharuskan.

Menurut Zulkifli yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), pelaksanaan ibadah haji dengan cara itu mestilah mematuhi beberapa syarat atau dhawabit (prinsip) yang telah ditetapkan.

"Antaranya ialah pinjaman kewangan yang dilakukan itu tidak mempunyai unsur-unsur riba. Ini kerana hukum riba telah jelas dinyatakan haram dalam al-Quran.

2495614 (1)

Hukum melaksanakan ibadah haji melalui pembiayaan atau pinjaman institusi kewangan diharuskan dengan beberapa syarat tertentu. — Gambar hiasan

BACA LAGI : Mufti Pulau Pinang mohon maaf bukan kerana salah, tapi kerana adab dalam Islam — Mufti Kelantan

"Selain itu, mempunyai pendapatan yang melebihi sara diri serta orang yang di bawah tanggungannya untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan dalam mengerjakan ibadah haji.

"Justeru, barang siapa yang tidak mempunyai lebihan wang daripada pendapatan atau pendapatannya hanya cukup-cukup untuk kehidupan seharian maka kewajipan untuk melaksanakan ibadah haji mereka tergugur tuntutan tersebut sekalipun dia mengambil pinjaman daripada institusi kewangan.

"Pada masa sama, pinjaman yang dilakukan itu dibuat di atas dasar mahu menyegerakan perintah ALLAH SWT dalam melaksanakan rukun Islam," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengguna media sosial, Faisal Hashim mempunyai pandangannya yang tersendiri terhadap pinjaman kewangan tersebut.

Menurutnya, ia adalah satu usaha yang baik bagi mengelakkan individu terbabit berhutang dengan saudara mara atau sahabat.

"Masyarakat kita ini sebenarnya kadang-kadang tidak sabar dan suka terkejar-kejar bila bab agama sampai ada yang berhutang dengan orang lain. Ada yang bayar dan ada yang tidak.

"Bila tidak dapat lunaskan hutang itu, ia akan menjadi isu, nak berbuat kebaikan tetapi diakhiri dengan dosa hutang. Jadi eloklah ada pinjaman seperti ini.

"Pada masa sama, boleh juga kurangkan aktiviti main kutu, memang dibenarkan tetapi kadang-kadang kita tak tahu sumber duit itu dari mana," tulisnya.

1555617

Akses kepada pembiayaan ibadah umrah memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat Islam untuk mengurus kewangan dengan berkesan dalam era digital. — Gambar hiasan

BACA LAGI : Amalan 'power' sebelum, selepas solat zuhur untuk peroleh kedudukan tinggi di sisi ALLAH

Sementara itu, Pengarah Travel & Tours Andalusia (Andalusia) , lda Riswana ldris dilaporkan berkata, akses kepada pembiayaan ibadah umrah memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat Islam untuk mengurus kewangan dengan berkesan dalam era digital.

Tambahnya lagi, pinjaman seperti itu juga dapat mengelakkan jemaah daripada ditipu ejen yang tidak berdaftar.

"Selain itu, jemaah boleh menunaikan kewajipan agama dengan asas kewangan patuh syariah dan berpatutan dengan rangkaian serta perkhidmatan kewangan yang holistik.

Tambahnya lagi, pakej pembiayaan peribadi itu bertujuan membantu pelanggan yang berkemampuan di samping menggalakkan golongan muda untuk menunaikan haji dan umrah pada usia muda kerana kebiasaannya golongan ini tidak berkemampuan disebabkan oleh kekurangan dana.

Pakej pembiayaan itu juga membolehkan orang ramai yang layak di bawah syarak iaitu di bawah hukum istito'ah (kemampuan untuk tunai haji) untuk menunaikan ibadah dengan cara pembayaran ansuran atau pembayaran tertangguh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram